Berita

58 pesalah PKP ditempatkan di pusat tahanan sementara

- Diterbit 25 April 2020 8:03 AM MYT

PUTRAJAYA – Seramai 58 pesalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditempatkan di pusat tahanan sementara di seluruh negara.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka merupakan kumpulan yang telah dijatuhi hukuman penjara oleh mahkamah kerana ingkar PKP.

“Penempatan pesalah itu adalah selaras dengan pewartaan 11 akademi penjara menjadi pusat tahanan sementara oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri menjelaskan seramai 386 individu ditahan dengan 332 daripadanya direman manakala 54 diberikan jaminan polis.

Ujar beliau, jumlah tersebut menunjukkan penurunan berbanding 550 individu sebelum ini.

“Kita amat berharap trend ini akan berterusan dengan rakyat mula menyedari dan mematuhi setiap arahan PKP ini,” katanya.

Dalam perkembangan berlainan, Ismail Sabri menegaskan seramai 84 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditangkap menerusi laluan tikus yang telah dikenal pasti di seluruh negara sepanjang pelaksanaan PKP.

“Kawalan sempadan negara telah diperketatkan oleh semua agensi terlibat bagi mengelakkan wujud kluster import daripada golongan individu yang mencerobohi negara menggunakan laluan tikus,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas