Khuatir jangkitan dari Pasar Borong KL, Selayang Baru kena PKPD hingga 3 Mei
SEKATAN jalan dilakukan di satu lokasi di Selayang sebelum arahan PKPD. Gambar hiasan IPD Gombak

Khuatir jangkitan dari Pasar Borong KL, Selayang Baru kena PKPD hingga 3 Mei

PUTRAJAYA – Penduduk di enam lokaliti di Selayang Baru, Gombak akan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai hari ini hingga 3 Mei depan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD ketujuh itu melibatkan Jalan Indah 3 dan 5a, Selayang Indah; Jalan Indah 21 Lembah Indah, Selayang Baru; Jalan Besar Selayang Baru, Jalan 1 dan Jalan Indah 21, Selayang Baru; Jalan 3,5,7 dan 9 Selayang Baru; Jalan 2, 4, 6, 8 Selayang Baru dan Blok A, B, C Selayang Makmur.

“PKPD ketujuh ini dilaksanakan bagi membendung jangkitan Covid-19 selepas mengambil kira kebarangkalian jalinan jangkitan Covid-19 di pasar harian dan borong Kuala Lumpur.

“Langkah ini membolehkan aktiviti pengesanan dilakukan sepanjang tempoh ini terhadap semua penduduk,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Beliau memberitahu, prosedur operasi standard (SOP) adalah sama iaitu para penduduk tidak dibenarkan keluar begitu juga penduduk luar tidak dibenarkan masuk, aktiviti perniagaan dihentikan dan bekalan perubatan akan dibuka untuk aktiviti kesihatan.

Justeru, Ismail Sabri menasihatkan para penduduk di kawasan terlibat bertenang dan menghubungi bencana daerah Gombak di talian 03 6120 1092 dan
03 6126 1500 atau pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak 03 6126 2247/40.

“Di samping itu, saya telah dihubungi oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun bahawa keperluan barangan makanan telah mula diedarkan dengan bantuan petugas dan agensi berkaitan.

“Ini bagi mengelakkan timbul sebarang isu berkaitan dengan bekalan makanan dan sebagainya,” katanya. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS