Pojok

Libatkan gelandangan jaga kebersihan

- Diterbit 22 Disember 2023 3:00 PM MYT

GELANDANGAN merupakan penyumbang terbesar kepada kekotoran persekitaran. Kerana itu mereka harus dilibatkan dalam kerja pembersihan persekitaran berkenaan.

Ini bukan kata-kata Adi, tetapi kata mantan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Untuk rekod, beliau memegang jawatan Datuk Bandar ke-12 selama dua tahun, dari 2 Oktober 2018 hingga 30 September 2020, menggantikan Datuk Mohd Amin Nordin. Sebelum itu beliau ialah Presiden Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Menurut Nor Hisham, gelandangan bertanggungjawab terhadap 80 peratus kekotoran persekitaran. Oleh itu mereka mesti digerakkan bersama melakukan kerja pembersihan dan tidak hanya dilihat sebagai masalah.

Menarik juga cadangan mantan Datuk Bandar ini. Belum ada sesiapa pernah melontar idea agar golongan yang ‘mengotorkan’ bandar raya perlu membersihkannya. Ertinya tugas melupus sampah sarap tidak hanya dilakukan oleh syarikat pembersihan, Alam Flora.

Adi difahamkan, pekerja Alam Flora sendiri merasai beban berat membuat pembersihan memandangkan kuantiti sampah sarap yang dibuang oleh gelandangan ini banyak.

Mereka juga dikatakan membuang sampah sesuka hati di lokasi mereka berada. Kerap kali pula sampah sarap ini dibuang di hadapan kedai atau premis perniagaan sehingga menimbulkan rungutan para peniaga.

Turut menjadi mangsa ialah kawasan tarikan pelancong yang menjadi lokasi pembuangan sampah. Keadaan ini menggugat keindahan dan kebersihan kawasan tersebut dengan sampah sarap bertaburan, menimbulkan bau kurang enak.

Tentu sahaja ini memberi imej tidak baik kepada ibu negara terhadap pelancong sedangkan kebersihan dan keindahan adalah ciri yang diterap dan diamalkan di ibu kota. Akibatnya, ada pemandu pelancong yang mengelak membawa pelancong ke kawasan tarikan yang kotor.

Ini merugikan kerana terlepas peluang mempromosi lokasi menarik kepada pelancong luar negara khususnya. Tetapi jika hendak dibawa juga, mungkin boleh memalukan negara. Jadi cara terbaik ialah mengelakkan kawasan berkenaan.

Justeru pada pandangan Adi, cadangan melibatkan gelandangan membersihkan bandar raya wajar disambut baik. Ia bukan sekadar membantu meringankan tugas Alam Flora, tetapi menyedarkan gelandangan agar tidak membuang sampah sesuka hati. Kawasan di mana mereka berada bukan kawasan buang sampah.

Walaupun kerajaan ada menyediakan kemudahan untuk gelandangan seperti rumah transit, tidak semua dapat diserap kerana jumlahnya ramai. Begitu juga yang berada di rumah transit bukan kekal di situ. Sampai waktu yang dirasakan mampu berdikari, mereka perlu pergi.

Yang tidak memperoleh kediaman di rumah transit atau gagal mencari kediaman selepas keluar daripada rumah tersebut, akan membentuk kumpulan gelandangan. Mereka berkeliaran di ibu kota mencari tempat berteduh, di samping mengharap sumbangan makan minum atau wang daripada orang ramai.

Namun perlu diingat mereka adalah golongan insan biasa, ada hati dan perasaan. Cuma nasib mereka tidak sebaik orang biasa. Tidak dapat Adi perincikan kenapa mereka menjadi gelandangan. Mungkin kerana tekanan hidup, masalah keluarga atau sebagainya.

Lantaran tekanan, kehidupan jadi tidak terurus. Ke sana sini membawa diri. Kerap kali tidur di kaki lima beralas simen atau kotak. Ada kalanya hanya beratap langit, berlampukan bulan dan bintang. Kawasan sekitar pula menjadi tong sampah.

Adi boleh faham kenapa secara keseluruhannya gelandangan merupakan penyumbang besar membuang sampah sarap. Sebab itu golongan ini disifatkan sebagai masalah.

Tetapi perspektif ini perlu diubah. Seperti kata Nor Hisham, di sebalik melihat mereka sebagai masalah, pendekatan kini wajar lebih menjurus kepada menjadikan mereka orang berguna.

Pihak berkuasa seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal (SWCorp) perlu menerima hakikat bahawa isu gelandangan bukan isu ringan, tetapi isu berterusan di ibu kota sejak lama.

Beri peranan penting

Justeru saranan untuk mereka memainkan peranan membersihkan ibu kota mampu membantu menangani isu gelandangan ini. Tenaga mereka digunakan untuk pembersihan bandar raya dan dalam proses itu boleh membantu mengubah nasib mereka ke arah lebih baik.

Bagaimana ini boleh berlaku? Pertama, dengan memberi mereka peranan akan menyebabkan mereka rasa dihargai dan nasib mereka diambil tahu. Usaha ini perlu melibatkan kerjasama semua agensi seperti yang Adi sebut di atas.

Agensi-agensi berkenaan terlebih dahulu perlu mengenal pasti lokasi gelandangan. Bahagikan mereka ke dalam kumpulan kecil. Seterusnya letak setiap kumpulan di kawasan tertentu di mana mereka perlu membuat kerja pembersihan secara berterusan.

Adi opitimis usaha ini bakal menimbulkan kesedaran di kalangan gelandangan bahawa kebersihan adalah penting untuk kehidupan sejahtera dan selesa. Ini boleh memupuk sikap menjaga kebersihan, sayang kepada persekitaran serta tidak membuang sampah sesuka hati. Malah mereka juga boleh menjadi mata telinga untuk menjaga harta awam di persekitaran.

Pada peringkat awal, mungkin sukar memberi kefahaman kepada mereka konsep menjadi tenaga pembersihan. Ini kerana selama ini mereka boleh membuang sampah sesuka hati dan tidak perlu pun membersihkan apa-apa.

Kerana itu perlu ada tarikan dalam bentuk penghargaan atau upah. Tidak semestinya dalam bentuk kewangan. Antaranya dalam bentuk kupon yang boleh ditukar dengan barang makanan dan keperluan lain di kedai runcit tertentu.

Pendedahan yang diberi menjaga kebersihan serta insentif yang diberi mampu mewujudkan ‘semangat kekitaan’. Kawasan di mana mereka berada jadi seperti milik sendiri dan kerana itu perlu sentiasa dijaga kebersihan dan keindahannya.

Setelah perasaan ini tersemat di hati, tugas seterusnya lebih mudah. Untuk memastikan mereka terus komited ‘menjaga’ kawasan, kelompok yang didapati menjaga kawasan dengan baik serta prestasi cemerlang boleh diberi penghargaan dalam bentuk wang tunai atau insentif lain.

Ini juga akan menggalakkan pertandingan sihat dalam kalangan gelandangan untuk mewujudkan persekitaran jagaan mereka sebagai terbersih dan terindah, bukan sekadar tempat untuk lepak dan tidur.

Oleh itu Adi berharap apa yang dicadangkan oleh Nor Hisham diberi perhatian serius oleh DBKL serta cuba dilaksanakan. Kita tidak tahu hasil sehingga dicuba.

Yang penting pada masa sama ia merupakan usaha mengubah status gelandangan agar mereka boleh menjadi kelompok berguna serta mampu berdikari, tidak hanya ke sana sini mengharap ihsan orang ramai.

Kerajaan telah banyak membantu gelandangan, seperti mewujudkan kebun bandar yang hasilnya mereka niagakan, juga memberi kursus untuk menceburi perniagaan kecil-kecilan. Semua ini bertujuan untuk mereka memperbaiki diri. Justeru tanamlah azam untuk berubah menjadi insan berguna serta menikmati hidup yang lebih sempurna tanpa bergantung kepada orang lain.

Adi—Suka yang bersih, indah

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas