Pojok

Menyeleweng kutipan derma

- Diterbit 15 Disember 2023 12:30 PM MYT

‘TANGAN yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima’.

Begitulah ungkapan yang sering Adi dengar dan percaya semua biasa mendengar. Malah dalam agama Islam pun ditekankan menghulur bantuan kepada yang memerlukan sangat digalakkan.

Mungkin kerana itu rakyat Malaysia secara keseluruhannya begitu ringan tangan menghulur sumbangan jika diperlukan lantaran musibah menimpa, termasuk di luar negara. Mereka juga rajin memberi sedekah kepada para pengemis atas rasa simpati.

Bagi Adi, sikap baik hati rakyat negara ini sangat disanjung kerana ia mempamerkan sikap prihatin terhadap kesusahan orang lain. Tidak dapat membantu cara lain sekurang-kurangnya dengan memberi sumbangan kepada yang memerlukan sudah dikira mencukupi.

Isu semasa yang masih panas dan terus bergolak ialah rakyat Palestin yang hidup menderita lantaran serangan rejim zionis Israel di Semenanjung Gaza. Ribuan nyawa, termasuk kanak-kanak, melayang. Rumah kediaman menyembah bumi menjadi debu sementara infrastruktur musnah. Bahan makanan dan pakaian sukar diperoleh.

Seperti kata peribahasa ‘berat mata memandang, berat lagi bahu memikul’. Begitulah keadaan rakyat di bumi Palestin. Berapa tebalnya rasa simpati kita yang hidup di negara aman sejahtera ini terhadap rakyat negara tersebut, tidak akan sama dengan mereka yang merasai sendiri penderitaan.

Namun sebagai negara yang menyokong kuat Palestin sejak dahulu dan akan terus berpegang kepada pendirian itu, Malaysia dan rakyatnya tidak berdiam diri atau sekadar memerhatikan rakyat Palestin dibunuh atau cedera serta rumah dan kampung halaman musnah.

Yang terbaik mampu dilakukan ialah menghulur sumbangan bagi meringankan beban penderitaan, selain iringan doa yang tidak putus-putus. Bukan sahaja doa bersendirian tetapi tangan beramai-ramai ditadah di masjid dan surau mengaminkan doa yang dibaca.

Seiring usaha memberi bantuan ini, muncul banyak pihak yang giat mengutip derma untuk Palestin. Ada yang diakukan oleh pertubuhan berdaftar, ada juga oleh badan bukan kerajaan (NGO), malah orang perseorangan.

Adi tidak mempertikai, malah menyambut baik semua usaha yang dilakukan. Rakyat Malaysia pula bangkit menyahut seruan memberi sumbangan. Harapan mereka biarlah sumbangan itu betul-betul sampai kepada sasaran. Biarlah bantuan mampu meringankan penderitaan ditanggung.

Namun yang mengguris hati Adi dan tentunya ramai yang lain ialah apabila ada yang dilihat tidak ikhlas mengumpul sumbangan. Kutipan didakwa tidak disalurkan kepada pihak yang sepatutnya menerima atau hanya sebahagian diberi.

Sebaiknya sumbangan digunakan untuk tujuan lain yang tidak ada kena-mengena dengan matlamat kutipan sumbangan. Menurut laporan, pihak berkuasa sedang menyiasat kegiatan pertubuhan yang terlibat dengan penyelewengan seperti ini.

Biarlah kita serahkan kepada pihak berkuasa mencari kebenaran dan bertindak jika ada bukti. Sehingga itu tidak wajar untuk membuat andaian dan kesimpulan sendiri. Biar proses siasatan dan keadilan berjalan sehingga tuntas.

Yang pasti kita tidak mahu usaha murni mengutip sumbangan tercalar kerana perbuatan tidak bertanggungjawab pihak yang diberi amanah. Ini juga boleh merosakkan nama baik Malaysia dan rakyatnya yang permurah.

Adi juga ingin menyentuh mengenai kutipan yang dikatakan derma untuk Palestin, dilakukan oleh orang perseorangan. Sama ada ia operasi solo atau ada kumpulan di sebaliknya memang sukar diketahui.

Sebagai contoh, daripada pemerhatian Adi, terdapat ramai individu yang dilihat mengutip derma di tempat tumpuan ramai. Misalnya di pasar pagi, pasar raya, pejabat pos, bank dan lain-lain.

Mereka bertapak di lokasi-lokasi berkenaan kerana menyedari ia kawasan lalu-lalang ramai dan peluang memperoleh derma lebih baik. Mereka lengkap memakai selimpang Palestin di bahu. Ada yang membawa bendera kecil. Tidak ketinggalan ialah tabung duit yang dibawa bersama untuk orang ramai menderma. Pada tong biasanya ada tulisan ‘Derma Palestin’.

Siapa sebenarnya setiap individu ini? Dari mana pula datangnya sejak awal pagi sudah berada di lokasi? Seperti Adi sebut, adakah individu tersebut beroperasi secara berseorangan, atau ada sindiket yang menjalankan aktiviti ini dengan meletakkan orang di merata tempat?

Adi pernah mengekori peminta sedekah yang datang dari rumah ke rumah, bukan sahaja dewasa tetapi pengemis kanak-kanak. Habis pusingan mereka ini berkumpul ke suatu tempat tertentu. Barangkali di tempat itulah dikira jumlah kutipan dan diambil oleh ‘bos besar’. Selepas itu sambung buat kerja.

Mungkinkah begini juga operasi pengutip derma individu untuk Palestin? Orang ramai yang hanya mahu menderma tidak ambil kisah atau bertanya siapa individu berkenaan dan ke mana atau bagaimana wang akan disalur kepada pihak yang menerima.

Memang sangat merisaukan cara operasi mereka.Bagaimanakah mereka menyalurkan derma, jika mereka benar melakukannya, sedangkan ada kaedah dan peraturan yang perlu dipatuhi dalam proses pemberian dana antara satu negara dengan negara lain? Siapakah yang mengaudit jumlah kutipan diterima?

Kerana itu maafkan Adi jika menaruh rasa sangsi terhadap kutipan yang dilakukan secara ini. Jika benar-benar disalur kepada rakyat Palestin tidak mengapa. Yang Adi bimbang ia hanya penyelewengan untuk memenuhi poket sendiri. Nama Palestin dan rakyatnya hanya diguna demi mencapai tujuan.

Perbuatan ini ibarat ‘menangguk di air keruh’. Ketika rakyat Palestin dibuai penderitaan, ada pihak yang mengambil kesempatan. Kepada yang benar-benar ikhlas menyampaikan sumbangan yang dikutip, syabas dan tahniah. Besar ganjarannya menolong orang dalam kesusahan.

Apa pun Adi berharap pihak berkuasa akan memantau kegiatan individu yang membuat kutipan di tempat-tempat seperti yang Adi sebut atau di mana-mana lokasi mereka berada. Ini sangat penting untuk mengekang kegiatan pengutip sumbangan palsu. Mereka yang melakukan perbuatan tidak bermoral ini perlu dibanteras.

Kita tidak harus menyalahkan rakyat Malaysia yang suka menderma. Manalah mereka hendak menyiasat perihal pengutip sebelum memasukkan duit ke dalam tabung. Apatah lagi jika dikatakan derma untuk Palestin, mereka memberi tanpa berkira demi membantu sesama Islam.

Memang rakyat Malaysia pemurah. Barangkali mungkin kerana itu pengemis warga asing pun ramai datang ke negara ini. Adi pernah membaca laporan bagaimana pengemis dikatakan dari salah sebuah negara Arab, hidup mewah hasil mengemis. Siang mengemis, malam boleh bersantai dan menginap hotel mahal di ibu kota.

Cukup masa, duit sudah banyak, kembali ke negara asal untuk berehat. Selepas beberapa ketika kembali semula menyambung aktiviti, malah membawa bersamanya keluarga atau rakan untuk sama-sama mengemis.

Harapan Adi biarlah kita benar-benar jujur dalam apa yang dilakukan, seperti kes derma untuk Palestin atau apa juga derma lain. Pastikan yang berhak menerima, jangan diseleweng. Hentikan perbuatan menangguk di air keruh.

Adi—Doa agar hati tidak keruh

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas