Berita

Lelaki mengamuk bawa pisau, bergaduh adik-beradik

INILAH pisau yang digunakan suspek ketika mengamuk di hadapan sebuah restoran di Labuan kelmarin.
- Diterbit 16 Mac 2020 5:05 PM MYT

LABUAN – Polis menahan seorang lelaki yang mengamuk dengan membawa pisau pemotong sayur di hadapan sebuah restoran di sini kelmarin.

Suspek bertindak sedemikian dipercayai akibat mengalami masalah dengan adik-beradiknya.

Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, suspek berusia 28 tahun ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan yang sedang melakukan rondaan pada pukul 1.40 pagi.

“Ketika melalui hadapan sebuah restoran, anggota ternampak suspek berlari sambil membawa pisau pemotong sayur dan dilihat mengamuk.

“Anggota kemudian bertindak menahan suspek dan merampas pisau yang digunakan. Ketika menahan suspek, berlaku sedikit pergelutan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek yang bekerja sebagai buruh binaan mengaku bertindak sedemikian berpunca dari masalah adik-beradik.

“Suspek tidak berpuas hati dalam masalah itu. Kebetulan, suspek ternampak pisau pemotong sayur yang berada di belakang dapur kedai makan yang masih beroperasi sekitar kawasan itu.

“Suspek berlari membawa pisau itu sebelum ditahan anggota. Pisau berkenaan dirampas dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk meneruskan dan melengkapkan kes,” katanya.

Menurut Muhamad Farid, suspek juga mengaku terbabit dalam penyalahgunaan dadah dan hasil ujian air kencing ke atasnya mendapati positif dadah jenis syabu.

Beliau berkata, suspek direman selama empat hari bermula kelmarin hingga 18 Mac ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Bahan Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

“Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dipenjarakan tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas