Berita

Covid-19: Jangan panik, cemas – PM

TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN
- Diterbit 16 Mac 2020 3:15 PM MYT

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru supaya masyarakat di negara ini tidak panik dan cemas dalam menghadapi situasi semasa wabak Covid-19.

Sebaliknya, ujar beliau, rakyat perlu berada dalam keadaan bertenang dan memastikan langkah-langkah sekatan pergerakan yang dilaksanakan kerajaan dipatuhi dengan sebaiknya.

“Kita mampu menyekat penularan wabak ini dalam masa terdekat.

“Kita telah melihat beberapa buah negara yang mengambil langkah drastik untuk mengawal penularan wabak tersebut seperti China yang kini menunjukkan penurunan mendadak kes-kes jangkitan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas yang disiarkan secara langsung di rangkaian televisyen di seluruh negara malam ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa bekalan bahan-bahan makanan, keperluan harian dan penjagaan kesihatan termasuk topeng muka adalah mencukupi.

Jelas beliau, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna diarahkan supaya sentiasa memantau situasi bekalan makanan dan keperluan harian di pasaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa.

“Saya merayu masyarakat keseluruhannya agar sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan. Ini adalah tanggungjawab bersama yang mesti kita laksanakan sebagai rakyat yang prihatin terhadap keluarga, masyarakat dan negara kita.

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara akan bermesyuarat setiap hari untuk memantau dan mengawasi situasi wabak Covid-19.

“Saya sendiri akan mempengerusikan mesyuarat tersebut dan memaklumkan perkembangan situasi wabak Covid-19 dari semasa ke semasa,” jelas beliau.

Muhyiddin juga menyatakan, orang ramai yang mempunyai pertanyaan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan boleh menghubungi Pusat Pengurusan Operasi Negara di talian hotline 03-88882010 bermula pukul 12 tengah hari esok.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua petugas kesihatan, penjawat awam dan semua pihak yang bertungkus-lumus bekerja untuk membendung wabak berkenaan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas