Berita

Covid-19: Dua kematian direkodkan di Malaysia

|
- Diterbit 17 Mac 2020 11:22 AM MYT

PUTRAJAYA – Malaysia mencatatkan dua kematian pertama Covid-19 (Kes 178 dan 358) hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, kes ke-178 merupakan lelaki warga Malaysia berumur 34 tahun yang pernah hadir perhimpunan tabligh di Sri Petaling.

“Dia bergejala mulai 5 Mac dan dirawat di Hospital Permai pada 12 Mac selepas positif Covid-19. Keadaannya merosot dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum disahkan meninggal dunia hari ini.

“Sementara kes ke 358 adalah lelaki warga tempatan berusia 60 tahun yang mempunyai sejarah kronik. Dia mula bergejala pada 7 Mac dan dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 14 Mac.

“Kesihatannya mula merosot dan dimasukkan ke ICU sebelum disahkan meninggal dunia hari ini,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Menurut Dr. Adham, sehingga pukul 12 tengah hari tadi, terdapat 120 kes baharu yang dilaporkan yang mana ia menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di negara adalah, 673 kes.

Jelas beliau, berdasarkan siasatan awal, daripada 120 kes baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 95 kes positif Covid-19 adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling.

“Sehingga kini, seramai 12 kes positif sedang dirawat di ICU dan memerlukan bantuan pernafasan. Justeru, orang ramai digesa untuk mematuhi segala arahan berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan mengikut peruntukan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) serta Akta Polis 1967 (Akta 344) yang akan dikuatkuasakan esok sehingga 31 Mac 3020.l,” tegasnya.

Dalam pada itu, Dr. Adham menyatakan, kegagalan mematuhi mana-mana arahan tersebut, sekiranya disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

“Kesalahan pertama, boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau didenda, atau kedua-duanya. Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, boleh dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau didenda, atau kedua-duanya.

“Kesalahan yang berterusan didenda selanjutnya tidak melebihi RM200 bagi tiap-tiap hari kesalahan itu berterusan,” ujarnya.

Dr. Adham sebelum ini menjelaskan, pihaknya akan menambah 830 jururawat dalam usaha menangani penularan Covid-19 di negara ini.

Beliau berkata lantikan secara kontrak itu bagi menambah kapasiti petugas di 135 hospital kerajaan di seluruh negara memandangkan bilangan kes positif Covid-19 semakin ketara sejak minggu lepas. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas