Berita

Lelaki maut dihempap pokok selepas kemalangan

SEBUAH lori remuk di bahagian depan selepas terbabas melanggar pokok di tengah jalan. - Gambah Ihsan BOMBA KUALA LUMPUR
- Diterbit 9 Disember 2020 10:58 AM MYT

SEORANG lelaki maut selepas tercampak keluar dari lori yang dipandu dan dihempap pokok yang dilanggarnya di Lebuhraya Bukit Jalil menghala Kuala Lumpur.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa yang berumur 58 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Faizul Hizam Draman berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.06 petang, seterusnya menghantar jentera ke tempat
kejadian.

“Pasukan operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jalil diarahkan bersama sebuah jentera FRT dengan kekuatan tujuh anggota.

“Setibanya jentera di lokasi kejadian, didapati sebuah lori Hicom Perkasa telah terbabas melanggar pokok,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurut Faizul Hizam, ekoran itu, sebuah kereta jenis Proton Persona kepunyaan Jabatan Imigresen terbabas kerana mengelak daripada melanggar kemalangan berlaku.

Ujarnya, bagaimanapun pemandu dan penumpang kereta tersebut tidak mengalami kecederaan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas