Berita

Lebih 10,000 unit residensi bakal dibina

ZALIHA mempengerusikan perbincangan yang diadakan baru-baru ini. Kredit foto: Pejabat Menteri
- Diterbit 22 Mac 2024 11:15 AM MYT

LEBIH 10,000 unit Residensi MADANI dan Wilayah disasar dibangunkan di Putrajaya bermula tahun ini dan dijangka siap pada 2027.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, pembangunan kedua-dua jenis residensi itu akan memberi manfaat kepada mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki kediaman mampu milik pada harga di bawah RM300,000.

“Ini adalah satu daripada usaha peningkatan darjat hidup rakyat di bawah kluster Program Usaha Jaya Insan (PUJI) melalui inisiatif Lindung @ PUJI.

“Insya-Allah di Putrajaya projek ini akan dibangunkan di pelbagai Presint dengan sasaran melebihi 10,000 unit yang akan dibina bermula 2024 dan siap pada 2027,” ujar beliau.

Zaliha berkata demikian selepas mengadakan perbincangan dan mendengar sendiri isu dan ketersediaan pemaju bagi memulakan Projek Perumahan Residensi MADANI dan Wilayah yang akan dibangunkan di Putrajaya.

Sebagai rekod, PUJI adalah satu daripada inisiatif atau program memperkasa warga Wilayah Persekutuan yang telah dirangka sebagai pendekatan inklusif dalam menangani isu sosioekonomi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas