Berita

Pengguna ada kuasa tolak peniaga jual makanan mahal

FUZIAH ketika meninjau BRR di Presint 14, Putrajaya. Kredit foto: FARIS AZMI/PPj
- Diterbit 22 Mac 2024 11:12 AM MYT

PENGGUNA mempunyai kuasa untuk menolak mana-mana peniaga yang menjual makanan pada harga mahal.

Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Fuziah Salleh, walaupun berlaku peningkatan harga makanan di bazar Ramadan, pengguna perlu bijak dan mengguna kuasa menolak peniaga yang menjual pada harga mahal.

“Memang ada aduan mengenai harga makanan mahal tetapi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pastikan tiada pencatutan atau kenaikan harga tidak munasabah oleh peniaga,” katanya selepas melancarkan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) 2024 di Presint 14, Putrajaya baru-baru ini.

Beliau berkata pengguna juga mempunyai kuasa menentukan harga pasaran dan tindakan itu akan memaksa peniaga menurunkan harga.

“Mengambil contoh harga martabak yang didakwa dijual mahal di bazar Ramadan, kenaikan itu tidak dapat dielak memandangkan kos bahan mentah seperti bawang besar dan daging import menyaksikan peningkatan harga.

“KPDN menerima 126 aduan dan 11 kes dibuka dengan sembilan melibatkan bazar Ramadan dalam Ops Pantau yang diadakan pada dua hari bermula 12 Mac lepas.

“Daripada sembilan kes di bazar Ramadan, sebanyak lima kes meliputi tidak mempamerkan tanda harga dan empat berkaitan kenaikan harga.

“Pihak KPDN akan terus memantau harga di semua bazar Ramadan dan pasar raya dalam usaha mengekang aktiviti pencatutan oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab,” ujar beliau.

Dalam masa sama, Fuziah memaklumkan BRR merupakan inisiatif serta tawaran Kerajaan MADANI kepada rakyat yang mana 40 peratus peniaga bazar akan menawarkan sekurang-kurangnya satu Menu Rahmah berharga tidak melebihi RM5.

“BRR merupakan salah satu inisiatif utama di bawah Program Payung Rahmah MADANI dengan objektif untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat melalui pilihan hidangan berbuka puasa pada harga yang berpatutan.

“Semua peniaga BRR yang mana melibatkan 64 lokaliti di seluruh negara telah digalakkan untuk menawarkan Menu Rahmah pada harga RM5 dan ke bawah sebagai pilihan menu tambahan ditawarkan kepada pengunjung,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas