Atlet Wilayah

Faktor fizikal bukan alasan serah kalah, Nurelfira cipta sensasi di Australia

NURELFIRA UMAIRA (kiri) dalam Kejohanan Trek dan Padang WA State 2024 di Perth, Australia
- Diterbit 22 Mac 2024 11:22 AM MYT

BERPEGANG kepada prinsip tidak menyerah kalah sebelum berjuang menjadi kunci kejayaan Nurelfira Umaira Mohd Yusof yang berjaya mencipta sensasi sekali gus memenangi pingat emas acara 80 meter lari berpagar perempuan bawah 14 tahun pada Kejohanan Trek dan Padang WA State 2024 di Perth, Australia baru-baru ini.

Atlet bertubuh kecil dan berketinggian 151 sentimeter itu berkata meskipun melihat saiz fizikal lawan lebih tinggi dan besar dengan pelari tertinggi lebih 180 sentimeter, ia bukan penyebab untuk dia gentar malah lebih bersemangat dan yakin untuk membawa pulang pingat.

“Saya memang sasar untuk bawa pulang pingat emas dan sebab itulah saya giat menjalani latihan. Semasa melihat pihak lawan, saya tetap yakin menang kerana telah berlatih lama sejak darjah empat (10 tahun). Saya yakin menang walaupun saya paling pendek dan kecil,” ujar atlet berusia 13 tahun itu.

Selain itu, pelajar Sekolah Kebangsaan Pasir Putih, Tawau itu berkata antara cabaran lain yang dihadapi adalah menyesuaikan cara larian dalam tempoh singkat sebaik mengetahui terdapat perbezaan jumlah pagar digunakan pada acara 80 meter lari berpagar.

“Ini kerana kebiasaan di Malaysia acara itu menggunakan halangan lapan pagar, bagaimanapun di Australia sembilan pagar digunakan menjadikan jarak setiap pagar berkenaan lebih dekat.

“Susah sikit lapan pagar ke sembilan pagar, jadi sebelum acara akhir dimulakan saya panaskan badan lagi dan cuba berlatih, syukur berjaya dengan masa 13.10 saat untuk emas,” ujarnya.

Di samping itu, dia yang turut meraih pingat perak 200 meter lari berpagar perempuan bawah 14 tahun dalam kejohanan sama memaklumkan akan kembali menjalani latihan sebagai persiapan menyertai Little Athletics Championships yang dijadual berlangsung di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Julai ini.

“Cikgu saya, Karim Batjo adalah pencetus minat untuk saya menyertai acara sukan lari berpagar ketika di tahun empat. Sasaran saya untuk mewakili Malaysia pada kejohanan lebih besar seperti Sukan SEA,” ujarnya.

Terdahulu, Nurelfira Umaira memecahkan rekod larian 80 meter lari berpagar Majlis Sukan Sekolah (MSS) Sabah di Keningau dengan catatan 12.41 saat selain turut mendapat rekod terbaik pada Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) bagi acara sama. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas