Fitnah vs Fakta

Lawatan Jerman: Bukan berseronok tetapi urusan negara

- Diterbit 22 Mac 2024 9:00 AM MYT

RANGKA lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jerman telah pun tamat dan kini beliau sudah pun kembali dengan pelbagai peluang untuk memanfaatkan lokasi Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan Jerman.

Usaha beliau yang dilihat begitu komited menarik pelabur asing bakal memberi pulangan lumayan kepada negara untuk jangka masa panjang selain membawa Malaysia ke arah negara maju.

Walaupun sudah terbukti komitmen beliau tidak berbelah bahagi namun masih terdapat cakap-cakap yang menidakkan usaha tersebut dan menuduh beliau bercuti di luar negara sambil berseronok.

Urusan rasmi negara yang dilaksanakan dipolitikkan oleh pihak yang tidak berpuas hati seolah-olah mahu mengajak rakyat bersama-sama mengiyakan tuduhan palsu tersebut.

Anwar ketika menghadiri Perhimpunan Bulanan Warga Jabatan Perdana Menteri baru-baru ini berkata selama lima hari rangka lawatan kerja ke negara tersebut masa yang ada dipenuhi hanya dengan menghadiri mesyuarat.

“Tentunya saya selaku Perdana Menteri, Zahid Hamidi (Timbalan Perdana Menteri), kita dihujat pelbagai tuduhan pergi bercuti di luar negara dengan seronok, pergi guna pesawat kerajaan, salah guna kuasa, guna wang banyak.

“Saudara, tak terjawab saya tapi percayalah, Jerman lima hari saya ke sana, kedai pun saya tak pergi, saya tak ada kerja lain selain dari hotel ke mesyuarat,” kata beliau menjawab pertuduhan yang dilemparkan.

Malah beliau begitu kesal dengan segelintir pihak yang membuat tuduhan tersebut sekali gus menggambarkan seorang perdana menteri (PM) tidak menjalankan tugas untuk negara.

“Saya bukan pergi satu hari mesyuarat hari kedua main golf, itu tradisi lama. Ada lapang selepas program saya jalan laju sekejap, itu ada… kalau itu dianggap salah saya minta ampun dan maaf.

“Tuduhannya tidak benar sama sekali. Adakah sebagai PM, saya tak boleh ke luar negara? Saya terpaksa saudara, kita tak akan dapat dukungan sebegitu rupa kalau kita tak menyantuni.

“Jadi saya harap kita tumpu. Percayalah bagi masa dalam beberapa tahun, kita boleh angkat semula martabat kita. Kita dah ketinggalan dari aspek transformasi digital (dan) transisi tenaga, ini hal yang sangat mendesak untuk negara kita.

“Bincanglah soal ini, sekali sekala nak cakap pasal bak kut teh bolehlah tapi janganlah ambil masa panjang sangat,” seloroh beliau.

Dalam rangka pertemuan rasmi bersama beberapa pelabur baru-baru ini, Anwar mengakui mereka memuji kecekapan penyampaian perkhidmatan awam negara yang semakin baik. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas