Berita

Dakwaan hidap penyakit kronik tidak berasas, tahap kesihatan PMX baik

BIARPUN dipenuhi jadual padat namun tahap kesihatan Anwar sentiasa baik
- Diterbit 19 April 2024 12:41 PM MYT

BIARPUN baru sahaja selesai menyambut bulan Ramadan dan sedang meraikan Aidilfitri yang mulia, namun ia seolah-olah tidak memberi kesan kepada segelintir individu yang tidak habis-habis menyebarkan fitnah.

Dilihat sengaja mencipta kontroversi, individu tidak bertanggungjawab yang masih dalam siasatan pihak berkuasa itu sewenang-wenangnya melemparkan tuduhan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam video berdurasi 1 jam 32 minit 50 saat yang dimuat naik di laman YouTube bertajuk DSAI Penyakit Misteri Tiada Penawar AIDS menuduh PMX menghidap penyakit yang digeruni ramai.

Tuduhan tidak masuk akal itu dilihat sengaja ingin mengganggu-gugat keharmonian kaum di negara ini serta dalam masa yang sama memecahbelahkan rakyat.

Lebih buruk lagi, ia dilakukan ketika pemimpin itu sedang sibuk memberi fokus untuk membawa Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang akhir dekad ini.

Tidak mungkin sama sekali PMX mampu bekerja dengan rutin jadual yang penuh selain menghadiri rangka lawatan ke luar negara jika kondisi kesihatan beliau seperti yang diperkatakan.

Menyangkal dakwaan berniat jahat itu, Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Kamil Munim berkata tahap kesihatan Anwar ketika ini berada dalam keadaan baik biarpun dipenuhi jadual padat sebagai pemimpin utama negara.

Untuk itu jelas menunjukkan biarpun terdapat pihak yang terus mempersoalkan tahap kesihatan beliau, ia tidak lebih sekadar naratif tidak berasas untuk tujuan menyebar fitnah semata.

“Sebagai antara individu yang dekat dengan Perdana Menteri, saya mengesahkan keadaan dan tahap kesihatan beliau jauh lebih baik daripada sebahagian kita, meskipun diasak dengan jadual yang terlalu padat.

“Untuk sosok yang berumur 76 tahun seperti beliau, adalah biasa untuk kadangkala mengalami sedikit demam atau alahan, namun kecekalan, semangat, ketangkasan dan kecerdasan beliau untuk bekerja terus mengampuh, malah untuk kami yang berada di barisan staf serta yang jauh lebih muda ini untuk mengejar pace (kepantasan) kerjanya juga kadang-kadang tertinggal,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau, baru-baru ini

Mengulas mengenai naratif fitnah yang cuba dilemparkan beberapa blogger pembangkang berkait tahap kesihatan PMX, beliau berkata Anwar tidak berganjak daripada tekadnya untuk merubah negara dan perubahan itu satu proses yang mesti ditelan meskipun memakan masa dan menerima kecaman.

“Ketika umat Islam baru selesai menyambut Ramadan dan sedang meraikan Aidilfitri, ruang suci ini terus dirempuh dengan hamburan politik yang berbaur fitnah dan rekayasa oleh beberapa watak yang kita sedia maklum mempunyai dendam yang tidak berkesudahan terhadap Perdana Menteri yang kini gigih mengemudi bahtera negara ke mercu lebih tinggi.

“Lebih parah, naratif longkang dan rendah akal ini dipanjangkan oleh sebilangan pendukung gerombolan yang mahu menegakkan Islam. Ini ternyata mendukacitakan tatkala Islam melarang umatnya dari sebarang unsur fitnah. Penegasan ini juga tidak sampai ke benak sebilangan mereka,” katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memanggil pemilik akaun media sosial, Badrul Hisham Shaharin (Chegubard), Mohamad Salim Iskandar (Salim Iskandar) dan Wan Muhammad Azri Wan Deris (Papagomo) untuk rakaman percakapan. Sementara rakaman percakapan Papagomo dilakukan di Balai Polis Setapak. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas