Fitnah vs Fakta

Isu kurma Israel

PENGGUNA perlu bijak melakukan semakan negara pengeluar produk kurma sebelum membeli. - Gambar hiasan
- Diterbit 22 Mac 2024 8:55 AM MYT

KERAJAAN terus menentang sekeras-kerasnya kezaliman Israel ke atas Palestin selain Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim lantang mengkritik negara barat yang hipokrit memperjuangkan kebebasan Palestin.

Bagi menzahirkan pendirian teguhnya, Malaysia bukan sahaja bertindak memboikot produk bahkan sekatan perdagangan dan ekonomi turut dikenakan terhadap Israel.

Sempena ketibaan bulan Ramadan, produk kurma dari Israel turut diharamkan penjualannya di negara ini.

Namun terbaharu pihak berkuasa merampas 73 pek buah kurma seberat 14.6 kilogram bernilai RM678 yang dipercayai berasal dari Israel.

Malah, seorang lelaki warga tempatan dipercayai pemilik perniagaan berkenaan turut ditahan untuk siasatan lanjut.

Situasi tersebut mendatangkan kemarahan pelbagai pihak sehinggakan ada yang menuduh kerajaan hanya mampu bercakap namun tidak melaksanakan pemantauan yang ketat sehingga produk tersebut boleh berada di pasaran.

Tanpa usul periksa golongan yang tidak bertanggungjawab terus memainkan isu ini sehinggakan menimbulkan pelbagai reaksi negatif dan menjadi isu panas yang dimainkan di media sosial.

Cakna dengan situasi yang berlaku, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membuka 11 kes siasatan termasuk enam kes melibatkan pencatutan sepanjang dua hari Ops Pantau di bazar Ramadan di seluruh negara.

Dalam operasi pada 12 dan 13 Mac itu, sebanyak 3,099 premis diperiksa.

Ia membuktikan kerajaan sentiasa memandang serius perkara tersebut sekali gus mengambil tindakan tegas terhadap produk kurma dari Israel.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata KPDN melihat secara terperinci penjualan kurma yang didakwa selain akan mengambil tindakan tegas sekiranya mempunyai maklumat berhubung pihak yang cuba mengelirukan pengguna.
Seharusnya semua pihak memainkan peranan yang penting dalam memastikan perkara sebegini tidak berulang lagi.

Pengguna perlu sentiasa­­ peka serta menjadi pengguna bijak dengan melakukan semakan terlebih dahulu kandungan selain negara pengeluar produk sebelum memutuskan untuk membelinya.
Dengan tindakan yang lebih terperinci seperti ini sangat membantu dalam mengekang masalah seperti ini.

Untuk rekod, di bawah Seksyen 5, Akta Perihal Dagangan, mana-mana pihak yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM100,000, atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya (individu dan syarikat) boleh didenda sehingga RM250,000. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas