Berita

Laos tersenarai antara 20 destinasi utama pelancongan 2023

- Diterbit 6 Januari 2023 8:54 AM MYT

AKHBAR Telegraph UK menyenaraikan Laos sebagai satu daripada 20 destinasi terbaik yang mesti dikunjungi pada 2023.

Laos, satu-satunya negara Asia Tenggara yang tersenarai selain beberapa negara Asia seperti Jepun dan Sri Lanka, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Pemilihan Laos itu berdasarkan kepada kemudahan kereta api berkelajuan tinggi dan pemandangan menakjubkan yang terdapat di negara ini serta kemudahan lain yang ditawarkan.

Perjalanan ke kawasan pelancongan Luang Prabang yang sebelum ini mengambil masa empat hingga ke lima jam melalui jalan darat, kini dengan kemudahan kereta api laju ia hanya mengambil masa 55 minit.

Sebelum ini, CNN juga menyenaraikan Laos sebagai satu daripada 23 lokasi terbaik untuk dikunjungi pada 2023. National Geographic turut menyenaraikan Laos sebagai satu daripada 25 destinasi utama untuk 2023.

Pada 2019, sebelum pandemik COVID-19 melanda, Laos menjana pendapatan sebanyak AS$934 juta dalam industri pelancongan bersamaan dengan hampir lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar negara.

Pakar berpendapat pelancongan Laos akan pulih tahun ini dan pembukaan semula China turut dijangka menyumbang kepada pemulihan itu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas