Berita

Filem Punjabi pertama Malaysia dapat sambutan hangat di pawagam

- Diterbit 6 Januari 2023 8:51 AM MYT

MUNDEY Kampung Dey (MKD) yang diterjemahkan kepada ‘Budak Kampung’, adalah filem cereka berbahasa Punjabi produksi tempatan pertama namun ia berjaya mendapat sambutan hangat di pawagam Malaysia sejak ditayangkan tiga minggu lepas.

Penonton setakat ini memberi sokongan yang menggalakkan sejak MKD ditayangkan pada 15 Dis lalu di sembilan pawagam di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Perak, Johor dan Seremban.

“Filem ini telah berjaya ditayangkan di pawagam selama 21 hari sekarang,” kata Mansher Singh dengan bangga yang merupakan penerbit dan pengarah MKD kepada Bernama hari ini.

Walaupun ia adalah filem cereka bahasa Punjabi pertama di Malaysia dan Asia Tenggara, beliau berkata ia digarap berdasarkan budaya Malaysia dengan dibarisi pelakon berbilang etnik serta penggunaan pelbagai bahasa.

Oleh kerana sambutan yang baik daripada orang ramai, tayangan MKD telah dilanjutkan sehingga hujung minggu ini.

Malah tempoh tayangan juga telah dilanjutkan selama seminggu lagi di TGV Cinema di Jaya Shopping Centre, Petaling Jaya.

MKD adalah kisah tiga rakan zaman kanak-kanak dari kampung yang berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari kehidupan yang lebih baik namun sebaliknya yang berlaku apabila nyawa mereka terancam apabila seorang bos wanita bersedia membunuh mereka untuk mendapatkan bungkusan berharga yang mereka miliki.

Filem komedi ini menampilkan pelakon Anwaar Beg Moghal, Nipun C, Hemant Shergill, Sanjna Suri, Chamkaur Singh, Mansher Singh, Sharmini Ramesh, Malkit Kaur dan Ashvinder Singh.

“Secara keseluruhan ia mengisahkan nilai kekeluargaan yang baik yang sesuai ditonton oleh semua golongan oleh bakat Malaysia. Bagi saya ia merupakan sentuhan pertama dengan bajet hanya RM600,000. Sumber inspirasi saya adalah Allahyarham P. Ramlee kerana beliau suka menonjolkan kisah rakyat Malaysia yang sebenar dalam filemnya,” kata Masher.

Beliau berkata India dan Pakistan berminat untuk menayangkan filem itu di negara masing-masing manakala beberapa perkhidmatan penstriman over-the-top (OTT) utama berminat untuk menayangkannya di platform mereka.

Faktor utama lain untuk filem itu adalah sokongan padu daripada Kementerian Komunikasi dan Digital serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Penerbit penyelia, Ghaz Abu Bakar berkata beliau kagum keseluruhan jalan cerita filem itu termasuk aksi lagak ngeri kereta terbalik dihasilkan dengan bajet yang kecil.

Beliau berkata MKD mempunyai tahap yang sama dengan filem aksi ‘Polis Evo’ yang mendapat kutipan tinggi yang diarahkannya pada 2015 dan 2018.

Sambil merakamkan penghargaan kepada FINAS yang menyokong bukan sahaja filem Melayu tetapi juga filem bahasa lain, Ghaz berkata kejayaan MKD juga menunjukkan bahawa pembuat filem berbakat boleh didapati dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan budaya.

Komen menggalakkan mengenai filem itu turut dimuat naik di media sosial.

“Saya seronok menonton MKD, lakonan yang hebat, saya menangis, saya ketawa, jenaka yang bagus dan segmen yang menyedihkan, ia menarik secara keseluruhan,” kata Drgurmin.

Opdesh Kaur Cheema berkata: “Tidak ada satu pun yang membosankan, pastinya tahap persembahan yang berbeza, semua harus meluangkan masa untuk menonton filem ini.”

Asugan yang merupakan kaki wayang berkata: “Secara peribadi saya dapati ia adalah filem yang menghiburkan untuk ditonton di skrin besar. Ucapan khas kepada trio kanak-kanak lelaki yang menghidupkan watak mereka dengan baik. Tidak lupa juga sinematografi oleh C. Kumaresan, melodi lagu yang bagus oleh komposer Mansher Singh dan Arvinder Raina serta kudos kepada Cobra dan Dragon.” – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas