Berita

Doa Faisal lekas sembuh – Saifuddin Nasution

- Diterbit 9 Mei 2024 10:58 AM MYT

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memohon orang ramai bersama-sama mendoakan pemain bola sepak negara, Faisal Halim, lekas sembuh dan kembali semula menyarung jersi Harimau Malaya.

Menurut Saifuddin Nasution, beliau turut bersimpati atas kejadian menimpa penyerang Selangor terbabit.

“Saya secara peribadi turut bersimpati atas kejadian yang menimpa bintang bola sepak negara, Faisal Halim yang di simbah asid pekat baru-baru ini.

“Mohon sama-sama kita doakan supaya Faisal Halim lekas sembuh dan kembali semula menyarung jersi Harimau Malaya.

“Buat keluarga Faisal Halim, semoga kuat dan tabah dalam menghadapi ujian ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa pihak polis sudah menjalankan siasatan terperinci berkenaan insiden malang itu.

“Saya yakin pihak polis sudah menjalankan siasatan yang terperinci berhubung insiden ini. Sama-sama kita berikan kepercayaan sepenuhnya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM),” ujarnya.

Baru-baru ini media melaporkan, arena bola sepak tempatan dikejutkan apabila Faisal Halim menjadi mangsa serangan simbahan asid di sebuah pusat beli belah di Petaling Jaya, Selangor.

Pemain berusia 26 tahun itu ketika ini sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta susulan disimbah asid pada Ahad lalu dan beliau disahkan mengalami kelecuran tahap empat. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas