Selebriti

“Saya tiada niat sindir Syamsul, Ira Kazar” – Ayu Damit

||
- Diterbit 15 Januari 2023 11:06 PM MYT

PENYANYI Ayu Damit menafikan dakwaan sesetengah netizen yang menganggap lagu baharunya yang berjudul Kejam ditujukan kepada Syamsul Yusof yang berkahwin dengan isteri keduanya, Ira Kazar, baru-baru ini.

Menurut Ayu, walaupun dia bersimpati dengan nasib isteri pertama Syamsul, Puteri Sarah Liyana yang dalam kekecewaan, namun itu bukan alasan untuk dia menyindir Syamsul dalam lagu Kejam.

“Sebagai wanita yang juga berstatus isteri, saya faham situasi yang dilalui oleh Puteri Sarah. Bagaimana kuatnya dia mengharungi dugaan rumah tangga yang belum tentu boleh dihadapi oleh wanita lain.

“Apa yang saya boleh cakap, lagu itu sudah dirakam dan melalui proses selama tujuh bulan untuk disiapkan. Kalau ikutkan, dari awal perancangan tu, kiranya dua tahun sudah.

“Cuma, lagu Kejam ini dikeluarkan sewaktu kisah perkahwinan Syamsul dan Ira Kazar sedang hangat diperkatakan. Memang ada sesetengah netizen menganggap saya cuba menyindir Syamsul dan Ira menerusi lagu Kejam ini.

“Jujur daripada hati, saya tiada niat untuk menyindir Syamsul atau Ira meskipun saya bersimpati dengan Puteri Sarah.

“Sebagai orang luar, saya tak berhak nak menghukum itu dan ini. Jauh sekali nak menyindir Syamsul kerana tidak meminta izin daripada Puteri Sarah untuk berkahwin kali kedua.

“Dalam hal-hal rumah tangga, kita tak boleh cakap lebih-lebih. Hanya mereka dan keluarga sahaja yang tahu apa yang berlaku. Berilah masa dan ruang agar kemelut yang berlaku dapat diselesaikan,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Ayu juga tidak menyalahkan netizen kerana sedar lagu Kejam ini ada kaitan dengan kekejaman seorang lelaki namun bukanlah ditujukan khusus kepada sesiapa.

“Tidak dinafikan , memang ada sesetengah netizen yang tetap mendakwa sedemikian. Apa boleh buat, mereka melihat lagu ini begitu dekat dengan kisah kekejaman seorang lelaki. Jujur cakap, ianya secara umum dan tidak ditujukan kepada siapa-siapa.

“Apabila netizen bertanyakan saya di ruangan mesej personal, saya hanya jawab semuanya hanya kebetulan.

“Lagu ini sebenarnya berkisarkan seorang wanita yang mengharapkan cinta daripada seorang lelaki namun tidak dibalas dan tiada kata putus yang dilafazkan.

“Apa yang sedih, wanita itu dilayan dengan begitu istimewa namun lelaki itu membuatnya seperti gantung tak bertali. Pendek kata, perasaan serta pengorbanan wanita tersebut tidak dihargai,” katanya yang mengharapkan lagu Kejam mengulangi kejayaan Hanya Di Mercu.

Lagu Kejam ciptaan Khairul Daniel dan lirik oleh Slen Fadzil dan Jay kini berada di semua platform digital. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas