Berita

37 pemilik tanah Kampung Sungai Baru mahu pampasan tiga kali ganda

NILAI hartanah di Kampung Sungai Baru hanya akan meningkat selepas Projek Pembangunan Semula dilaksanakan.
- Diterbit 17 Jun 2022 4:30 AM MYT

SERAMAI 37 pemilik rumah teres yang menentang pengambilan tanah bagi tujuan Pembangunan Semula di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru kerana menuntut pampasan tiga kali ganda lebih tinggi berbanding tawaran asal yang dikemukakan pemaju Ritzy Gloss Sdn Bhd.

Pengarahnya, Abdul Hadi Ahmad berkata alasan yang dikemukakan itu tidak munasabah memandangkan nilai yang dikemukakan itu hanya boleh dituntut sekiranya kawasan itu telah dibangunkan.

“Tawaran yang dikemukakan kepada semua penduduk di rumah teres adalah sebuah rumah yang diambil akan digantikan dengan tiga buah unit kondominium dengan bernilai lebih RM1 juta beserta wang tunai RM400 ribu.

“Namun mereka hendak nilai tersebut dalam bentuk tunai dan pada ketika ini, nilai hartanah di kawasan itu tidak mencecah harga yang dituntut kerana ia belum dibangunkan,” katanya kepada Wilayahku pada Rabu.

Abdul Hadi berkata, kesemua pemilik berkenaan telah menghadiri sesi perbincangan yang dianjurkan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang diuruskan oleh Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB).

“Saya telah pun menghantar tawaran asal kepada pihak PKB untuk dirundingkan bersama dengan kumpulan tersebut namun mereka menolak.

“Bagi saya, tawaran yang telah dikemukakan sejak tahun 2016 itu munasabah kerana nilai kawasan itu hanya akan meningkat sekiranya pembangunan semula dilaksanakan.

“Sekiranya mereka mahukan nilai yang disebutkan itu, ia hanya boleh berlaku selepas perancangan pembangunan dapat dilaksanakan,” katanya.

Tambahnya, pihaknya tidak dapat memenuhi tuntutan berkenaan kerana ia akan menyebabkan semua pemilik turut menuntut perkara yang sama dan pada masa sama projek berkenaan sudah tidak kompetetif kerana melibatkan kos yang tinggi.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, sepatutnya projek tersebut sudah tiada halangan kerana telah melalui proses perundangan yang ditetapkan berdasarkan mendapat persetujuan majoriti dan pengambilan tanah di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960.

“Saya masuk ke Kampung Sungai Baru pada 2016 dan sepatutnya projek sudah boleh mula tiga tahun lalu. Saya target projek patut mula pada 18 bulan hingga ke tiga tahun sahaja tapi sekarang sudah masuk enam tahun tetapi masalah belum lagi selesai.

“Projek sudah hampir berjaya dilaksanakan dan hanya 11 peratus yang masih belum setuju. Sekarang saya serahkan semula kepada penduduk untuk tentukan sama ada mahu meneruskan lagi projek ini atau tidak.

“Kalau tunggu terlalu lama, saya pun tidak boleh bertahan kerana perlu mengeluarkan kos setiap hari bagi bayaran sewa rumah transit dan kos tambahan lain,” katanya.

Beliau berharap, semua pihak memberikan kerjasama bagi menjayakan projek tersebut kerana hasrat pembangunan semula kawasan tersebut bagi tujuan meningkatkan taraf hidup penduduk dan meningkatkan nilai hartanah di kawasan itu. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas