Berita

KWP bantu gelandangan jadi usahawan tani berjaya

PERTANIAN bandar yang diusahakan di tapak Desa Water Park akan memberi hasil
- Diterbit 23 April 2021 4:04 AM MYT

HANYA menggunakan tanah seluas 82,000 kaki persegi di bekas tapak Desa Water Park, 64 gelandangan yang menetap sementara di Pusat Transformasi Gelandangan Anjung
Kelana, Kuala Lumpur berjaya menukarkannya kepada kawasan
pertanian bandar.

Ia sekali gus menjadikan pembangunan kebun menerusi Program Bantu Gelandangan 2.0
akan meningkatkan taraf hidup gelandangan terlibat. Kementerian Wilayah
Persekutuan dalam satu kenyataan memaklumkan, inisiatif yang dilakukan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah untuk memberi pekerjaan dan membolehkan
gelandangan menjana pendapatan sendiri.

“Pada peringkat awal, antara tanaman kontan yang diusahakan adalah kangkung serta keledek
yang mudah ditanam dan dalam tempoh tuaian yang singkat. “Selain tanaman kontan sedia
ada, tanaman yang dirancang adalah timun (fertigasi), sayur buah (bendi, kacang buncis), sayur
daun, bayam, sawi (batas) dan tembikai (batas) yang dijangka boleh dituai dalam masa dua hingga tiga
bulan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pada masa ini, tanaman kangkung dijangka dapat dituai dalam tempoh dua minggu lagi manakala 500 polibeg timun yang ditanam boleh memberikan hasil kira-kira empat
hingga enam kilogram bagi satu pokok.

Katanya, tanaman tersebut akan dijual di koperasi-koperasi terpilih di sekitar Kuala Lumpur
dengan hasil pendapatannya akan diberikan kepada mereka yang mengusahakan termasuk
Persatuan Kebajikan Golongan Asnaf dan Gelandangan Kuala Lumpur dan Selangor (KASGE)
yang memberikan latihan dan bimbingan bagi tujuan ini.

Menjelas mengenainya, kenyataan tersebut memaklumkan, ia disebabkan gelandangan
menunjukkan minat untuk mengusahakan kebun, projek pertanian atau ladang berskala besar selepas tiga bulan diberi pendedahan dan latihan.

“Pihaknya juga bekerjasama dengan Jabatan Pertanian serta Institut Penyelidikan dan
Kemajuan Pertanian (MARDI) dalam menggalakkan hasil tanaman serta memberi latihan asas
perniagaan. “DBKL juga sedang mewujudkan aktiviti jualan di Pusat Transformasi Anjung Kelana bagi
memasarkan hasil tani gelandangan yang telah memanfaatkan tanah lapang di sekitar pusat transit tersebut dan kawasan sekitar bawah laluan tiang pencawang elektrik berdekatan,” katanya. -DIANA AMIR -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas