Berita

KWP bantu anak yatim 10 beradik – Jalaluddin

JALALUDDIN (dua dari kiri) berbincang dengan wakil Jabatan Perumahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menempatkan 10 beradik ini di Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka.
- Diterbit 5 Ogos 2022 5:22 AM MYT

SELEPAS ibu meninggal dunia dengan mengejut 1 Ogos lalu, tugas sebagai ketua keluarga digalas anak sulung ini bagi menyara sembilan adik-beradik.

Tanggungjawab yang digalas di bahu Ahmad Danial Faiz Abdul Latif, 24, amat berat kerana ia hadir sekelip mata tanpa ada sebarang petanda.

“Sebenarnya ibu memang tidak ada sakit apa-apa, namun ketika malam kejadian, beliau sedang melihat telefon dan tiba-tiba ia jatuh dari genggamannya dan ibu terus tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia kerana komplikasi jantung,” katanya kepada Wilayahku selepas lawatan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias di rumahnya di Wangsa Maju pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Datuk Zaizalnizam Zainun dan Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah.

Bercerita lanjut, Ahmad Danial Faiz berkata menjadi yatim piatu sekelip mata amat memilukan kerana beliau mempunyai adik-adik yang masih bersekolah dan belum puas mendapat kasih sayang dari ibu dan bapa.

“Bapa saya meninggal dunia pada tahun lalu dan apabila secara tiba-tiba ibu pula menyusul, ia amat menyedihkan kerana kebanyakan kami semua manja dengan ibu.

“Namun, sudah ketentuan takdir kami perlu harungi dugaan ini dan alhamdulillah ahli keluarga ibu dan bapa ada datang melawat serta mengambil berat mengenai kami semua,” katanya.

Beliau yang bekerja sebagai operator menzahirkan kesyukuran apabila ditawarkan menduduki rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dengan tanggungan awal daripada Pejabat Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan.

Alhamdulillah syukur, ini adalah rezeki adik-beradik, meskipun sedih tetapi ia terubat apabila mendapat tawaran rumah.

“Rumah yang diduduki kini adalah sewaan dan ia ditanggung oleh syarikat arwah ayah dahulu dan kami tinggal di sini baru setahun sahaja,” katanya.

Ujarnya, beliau turut mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan semua pihak terutama Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana menghulurkan bantuan untuk mereka meneruskan kehidupan.

Sementara itu, Jalaluddin berkata di atas keprihatinan dan musibah yang menimpa 10 beradik tersebut, pihaknya akan mempercepatkan penawaran rumah PPR bagi memudahkan mereka meneruskan kehidupan di rumah baharu.

“Saya akan pastikan selewat-lewatnya Jumaat ini mereka akan mendapat surat tawaran bagi menduduki rumah PPR ini dan segala bayaran pendahuluan akan diproses oleh pejabat saya.

“Selewat-lewatnya sebelum hujung minggu ini mereka akan berpindah ke unit tersebut dan rumah yang ditawarkan itu telah pun dibaik pulih dengan peralatan asas turut diberikan untuk kegunaan mereka,” katanya.

Tambahnya, bantuan-bantuan lain seperti daripada JKM dan YWP akan diberikan bagi menampung perbelanjaan anak-anak sekolah rendah ini.

“Datuk Shafei juga ada mengusahakan bantuan JKM dan ia akan diteruskan dan dibayar melalui ketua keluarga iaitu anak sulung ini,” katanya.

Dalam pada itu, Zaizalnizam berkata pihaknya YWP akan menyalurkan bantuan pendidikan kepada 10 beradik ini termasuklah sumbangan bayaran khairat kematian di atas kematian ibu mereka.

“YWP juga bersetuju akan memberikan bantuan biasiswa kecil untuk anak-anak yang sekolah menengah, bantuan awal ke Institut  Pengajian Tinggi (IPT) untuk tiga adik beliau dan dua lagi adiknya adalah pelajar sekolah rendah yang akan menerima bantuan RM200 serta beg sekolah,” katanya. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas