Berita

RM9 juta bagi kerja penyelenggaraan di Putrajaya

FADLUN melakukan cabutan kerja undi bagi kontraktor bumiputera kelas G1 di Dewan Seri Melati, Kompleks PPj baru-baru ini.
- Diterbit 5 Ogos 2022 6:00 AM MYT

SEJUMLAH RM9 juta diperuntukkan dengan anggaran lebih 300 kerja-kerja kecil bagi kerja penyelenggaraan dan pembaikan di seluruh Putrajaya dicadang untuk dilaksanakan pada tahun ini.

Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud berkata setiap tahun Perbadanan Putrajaya (PPj) akan memperuntukkan sejumlah dana bagi kerja pembaikan di seluruh Putrajaya.

“Setiap tahun, PPj memperuntukkan sejumlah dana bagi pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan di seluruh Putrajaya. Peruntukan ini adalah termasuk pelaksanaan perolehan kerja-kerja requisition, iaitu kerja-kerja kecil atau pembaikan yang tidak mengubah struktur asal bangunan.

“PPj menganggarkan lebih 300 kerja-kerja kecil dicadang untuk dilaksanakan pada tahun ini yang melibatkan peruntukan berjumlah RM9 juta,” jelas beliau satu Majlis Cabutan Kerja Undi telah diadakan bagi memudahkan proses kerja tersebut.

Fadlun berkata antara objektif penganjuran Majlis Cabutan Kerja Undi adalah bagi membantu kontraktor kecil di Putrajaya yang terjejas pendapatannya.

“Objektif penganjuran Majlis Cabutan Kerja Undi ini adalah bagi mempercepatkan pelaksanaan kerja selain membantu kontraktor-kontraktor bumiputera kelas G1 di Wilayah Persekutuan Putrajaya menjana semula ekonomi yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19 dan ia telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar,” ujar beliau yang mana majlis tersebut merupakan kali kedua dianjurkan.

Tambah beliau, Majlis Cabutan Kerja Undi peringkat pertama telah dilaksanakan pada 29 Mac lalu melibatkan peruntukan RM1,297,982.60 juta dengan 32 jumlah kerja manakala nilai peruntukan bagi kerja undi peringkat kedua ini dianggarkan berjumlah RM1,016,437.72 diikuti kerja-kerja kecil sebanyak 40.

Menjelaskan berkenaan pelaksanaan kerja undi, Fadlun berkata PPj masih mengambil pendekatan sejajar dengan tatacara perolehan semasa.

“Bagi pelaksanaan kerja undi ini, PPj masih mengambil pendekatan sejajar dengan tatacara perolehan semasa di mana kerja undi yang ditawarkan bernilai RM50 ribu dan ke bawah. Secara tidak langsung, lebih banyak kerja undi dapat ditawarkan dan lebih ramai kontraktor kecil yang akan mendapat peluang.

“Pengagihan kerja melalui kaedah ini juga dilihat sebagai lebih telus dan saksama selain berpotensi merancakkan semula rantaian ekonomi yang terhasil daripada aktiviti infrastruktur dan pembinaan,” jelas beliau.

Dalam pada itu, PPj turut menyeru kontraktor yang berjaya dalam sesi undian untuk sentiasa mempamerkan prestasi yang cemerlang dan lebih berinovasi seiring perkembangan teknologi.

“Kita juga menyeru kontraktorkontraktor yang berjaya dalam sesi undian ini untuk sentiasa mempamerkan prestasi cemerlang dan memastikan kerja-kerja diselesaikan mengikut tempoh masa dan spesifikasi seperti ditetapkan. Prestasi yang mereka tunjukkan bakal memberikan impak besar dan merupakan cerminan kepada imej serta profil bandar raya ini.

“Selain itu, pihak kontraktor diharapkan lebih tekun dan berinovasi dalam meningkatkan kemahiran dan pengetahuan terutamanya dalam industri pembinaan seiring dengan perkembangan teknologi dan peredaran zaman,” kata beliau. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas