Berita

Jualan murah 2 kali seminggu di 39 lokasi sehingga Disember

SUBSIDI kerajaan dan rundingan dengan pihak peniaga membolehkan harga barangan dijual dengan lebih rendah.
- Diterbit 5 Ogos 2022 4:57 AM MYT

WARGA kota bakal menerima manfaat daripada Program Jualan Murah Keluarga Malaysia mulai 15 Ogos ini sehingga akhir tahun 2022.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata program tersebut bakal diadakan di 39 lokasi terpilih sekitar Kuala Lumpur sebanyak dua kali seminggu melalui trak MyGrocer@Wilayah.

“Program Jualan Murah Keluarga Malaysia akan diadakan menerusi trak MyGrocer@Wilayah yang mana trak tersebut akan bergerak ke 61 kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“Sekiranya terdapat permintaan di tempat lain ia akan digerakkan ke lokasi tersebut sekali gus membantu memudahkan pergerakan rakyat untuk mendapatkan barangan dapur.

“Bukan itu sahaja, penjualan melalui trak MyGrocer@Wilayah juga turut diberi subsidi di mana rakyat boleh membeli dengan harga dua kali ganda lebih murah berbanding di pasar raya,” beliau membuat pengumuman itu ketika ditemu bual dalam Program Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan secara langsung di Saluran TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada Rabu.

Bagi memperluaskan inisiatif tersebut, Shahidan berkata kerajaan bakal memberi subsidi barangan sepanjang penjualan Program Jualan Murah Keluarga Malaysia berlangsung.

“Pemberian subsidi tersebut bukan sahaja daripada kerajaan malah ahli parlimen juga. Sebagai contoh sekiranya harga ayam bagi dua kilogram sebanyak RM16 dengan pemberian subsidi ia dikurangkan kepada RM13 dan penjualan di trak tersebut membolehkan warga Wilayah Persekutuan mendapatkannya dengan harga serendah RM10,” jelasnya.

Tambah beliau, selain subsidi usaha berunding bersama pihak peniaga bagi menurunkan harga barang juga sedang dilakukan oleh pihak Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP).

“Kita telah menggerakkan pegawai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi membantu memantau harga ayam di sekitar Kuala Lumpur dan secara purata harganya adalah RM8.90. Usaha sedaya upaya sedang dilakukan di mana KWP bakal berunding berkenaan sewaan kedai bersama peniaga terlibat untuk menurunkan lagi harga ayam.

“Itu yang disebutkan sebagai jihad di mana kita mencuba sehabis baik dan kerajaan sedang memberikan komitmen penuh dalam menyelesaikan masalah kenaikan harga barang,” ujarnya.

Selain itu, beliau menyatakan antara tujuan lain program tersebut dilaksanakan adalah untuk menampung permasalahan miskin tegar di Wilayah Persekutuan.

“Kita bagi subsidi namun ia tertakluk kepada harga pasaran sesuatu barang itu sendiri. Penjualan ini membantu menampung permasalahan miskin tegar di sekitar Kuala Lumpur namun Program Jualan Murah Keluarga Malaysia ini adalah terbuka kepada seluruh Keluarga Malaysia kerana harga yang ditawarkan mampu milik,” katanya.

Program Jualan Murah Keluarga Malaysia akan dilaksanakan di 639 Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara bermula 15 Ogos 2022 yang turut melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Pembangunan Luar Bandar serta KWP. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas