Berita

Kumpulan Sunway sumbang RM34 juta bantu pihak terjejas Covid-19

KAKITANGAN Sunway mengedarkan sumbangan kepada petugas barisan hadapan.
- Diterbit 8 April 2020 10:13 PM MYT

 

PETALING JAYA – Kumpulan Sunway memperuntukkan RM34 juta untuk disumbangkan kepada beberapa pihak yang terjejas akibat pandemik Covid 19.

Pengasas dan Pengerusinya , Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah (gambar bawah) berkata, sebanyak RM200 juta sumbangan adalah dalam bentuk tawaran sewa percuma kepada peruncit perdagangan bukan utama di pusat membeli-belah Sunway di sini.

Beliau berkata, sebanyak RM12 juta diberikan bagi menanggung subsidi kos rawatan pesakit di hospital kerajaan dan Pusat Perubatan Universiti Malaya manakala RM1 juta akan disumbangkan kepada Tabung Covid-19.

Kumpulan Sunway dalam kenyataannya berkata, pengurusan atasan syarikat itu juga telah  menyuntik motivasi kepada para pekerjanya untuk turut sama menderma dalam menjayakan misi membantu golongan yang berada dalam kesusahan ekoran wabak  berkenaan.

“Kakitangan Kumpulan Sunway secara sukarela membuat kutipan derma dengan kerjasama Yayasan Jeffrey Cheah yang dinamakan dana #SunwayForGood dan telah mendapat sokongan daripada pihak pengurusan kanan syarikat,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Razman M. Hashim berkata, sebanyak RM800,000 berjaya dikumpulkan daripada   kakitangan kumpulan itu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ketika sedang  berhadapan dengan kesulitan  selalunya keluarga akan bergabung membantu satu sama lain untuk menghadapi krisis.

“Inilah yang kami lakukan, semangat kekeluargaan  untuk membantu golongan yang memerlukan dan terkesan daripada penularan penyakit berkenaan,” katanya 

Sumbangan dana #SunwayForGood itu akan diserahkan bagi membantu penjagaan kesihatan kakitangan barisan hadapan yang telah bertungkus-lumus bekerja sejak Covid-19 merebak di negara ini.

“Daripada dana itu juga, pek StaySafe seperti topeng muka, suplimen vitamin C dan sanitizer telah diagihkan kepada pekerja barisan hadapan termasuk yang terlibat dalam perkhidmatan utama serta kritikal dalam Kumpulan Sunway, ” kata kenyataan itu.

Kumpulan barisan hadapan Sunway termasuk para pekerja yang terlibat dalam penjagaan kesihatan di Sunway Medical Centre di Sunway City Kuala Lumpur dan Sunway Medical Centre di Velocity di Cheras, ujarnya.

Tambah kenyataan itu, bantuan turut diagihkan kepada penjaga zoo di Sunway Lagoon dan Sunway Lost World of Tambun.

Termasuk juga  pekerja di bahagian hotel di seluruh hartanah perhotelan, kakitangan penyelenggaraan, pengawal keselamatan dan polis bantuan di semua komuniti dan bandar milik Sunway, katanya.

Kata kenyataan itu, Kumpulan Sunway juga menyediakan RM300,000 bagi program #SunwayForGood Aid Now untuk golongan B40  yang tinggal di kawasan perbandaran dimajukan Kumpulan Sunway seperti di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Johor.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM100,000 telah disalurkan kepada Tabung Prihatin Yayasan Kebajikan Negara dan Jabatan Kebajikan Masyarakat .

“Tabung itu bakal memberi manfaat kepada 12,000 penerima yang mendapat sumbangan barangan makanan seperti sardin, mihun, tepung, beras, susu tepung, biskut dan minyak masak,” katanya. – WILAYAHKU 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas