Berita

Klinik Pergigian Kuala Lumpur, Putrajaya hasilkan 25,000 pelindung muka

KAKITANGAN awam digalakkan kerja dari rumah. Gambar hiasan
- Diterbit 9 April 2020 2:50 AM MYT

PUTRAJAYA – Menyedari kekurangan peralatan perlindungan diri (PPE) dalam kalangan petugas barisan hadapan yang berdepan risiko Covid-19, kakitangan Bahagian Kesihatan Pergigian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya tampil dengan inisiatif menghasilkan komponen tersebut.

Menurut jurucakapnya, Carlos Najmul Basri, projek penghasilan pelindung muka itu digerakkan sekumpulan anggota pegawai pergigian dengan menggunakan #shieldthemup merujuk kepada penghasilan topeng muka tersebut.

ALAT PELINDUNG MUKA

Ujarnya, sehingga kini, 25,000 pelindung muka yang merupakan antara komponen penting kelengkapan PPE telah dihasilkan sejak 1 April lalu.

Jelasnya, kesemua kelengkapan yang dihasilkan itu juga sudah diserahkan kepada beberapa lokasi yang menempatkan petugas barisan hadapan termasuk hospital dan sekatan jalan raya (SJR) sekitar Putrajaya.

“Penghasilan alatan pelindung muka ini melibatkan 251 orang kakitangan. Ia telah dihantar ke Pejabat Kesihatan Lembah Pantai, Pejabat Kesihatan Titiwangsa, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Pejabat Kesihatan Putrajaya, Hospital Putrajaya dan Institut Kanser Negara.

“Turut menerima sumbangan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Kesihatan Kepong, Pejabat Kesihatan Cheras, Klinik Pergigian Jinjang, Klinik Pergigian Putrajaya Presint 18 dan Presint 9,” katanya.

Tambah Carlos, selain alat pelindung muka, Klinik Pakar Bedah Mulut, Hospital Putrajaya juga turut membantu menghasilkan ‘cap’ untuk diedarkan kepada anggota barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM) yang memerlukan. – WILAYAHKU

CARLOS membantu petugas barisan hadapan memakai alat pelindung muka selepas mengedarkannya.
‘CAP’ turut disediakan untuk kegunaan petugas barisan hadapan di hospital.
KAKITANGAN Klinik Pergigian Kuala Lumpur dan Putrajaya menyiapkan alat pelindung muka untuk diserahkan kepada petugas barisan hadapan.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas