Berita

Belum ada lagi keputusan rasmi tangguh ibadah haji

UMAT Islam perlu berdoa agar wabak Covid-19 dapat dihapuskan bagi memastikan ia tidak menjejaskan pelaksanaan ibadah haji tahun ini. Gambar hiasan
- Diterbit 8 April 2020 9:15 PM MYT

PUTRAJAYA – Umat Islam diminta tidak menyebarkan khabar angin bahawa berlaku penangguhan ibadah haji pada tahun ini ekoran wabak Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri (gambar) berkata, setakat ini belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan pihak Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berkenaan isu itu.

Beliau berkata, perkara tersebut dijelaskan Duta Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussien Saeed Qattan dalam pertemuan mereka di kedutaan negara tersebut kelmarin.

“Sama-samalah kita berdoa agar Allah menghilangkan wabak ini dan memelihara dua kota suci umat Islam daripada sebarang perkara yang tidak diingini.

“Semoga dengan doa dan munajat kita, pelaksanaan ibadah haji pada tahun ini dapat direalisasikan dengan izin-Nya,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Atase Agama Kedutaan Arab Saudi , Syeikh Abdurrahman Ibrahim Al-Rubai’an; Pengurus Besar Kanan Haji, Lembaga Tabung Haji , Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Ruslan Said.

Tujuan pertemuan itu adalah untuk mendapatkan penjelasan berkenaan isu pelaksanaan ibadah haji bagi tahun ini.

Pelaksanaan ibadah haji adalah antara perkara yang penting dalam merealisasikan Rukun Islam.

Bagaimanapun, wabak Covid-19 yang melanda dunia pada ketika ini turut memberi kesan kepada Arab Saudi yang menghentikan semua penerbangan antarabangsa.

Negara itu juga bertindak menyekat masuk serta keluar pergerakan ke beberapa bandar raya, termasuk Mekah dan Madinah.

Pada bulan lepas, Arab Saudi juga menghentikan kemasukan jemaah umrah untuk sepanjang tahun ekoran kebimbangan terhadap penularan wabak itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas