Berita

Kuasai teknik menjawab soalan

- Diterbit 5 Julai 2019 4:07 AM MYT

1,200 murid sertai Seminar Kecemerlangan UPSR anjuran YWP

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

PUTRAJAYA – Seramai 1,200 orang murid Tahun Enam di sekitar Wilayah Persekutuan akan menyertai Seminar Kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi membolehkan golongan terlibat menghadapi peperiksaan yang dijadual berlangsung pada September ini.

Program yang dianjurkan secara percuma oleh Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) itu memberi pendedahan tentang teknik dan tips menjawab soalan peperiksan serta memberikan motivasi kecemerlangan kepada murid-murid berkenaan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, kesemua murid yang terlibat itu dipilih oleh Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan dan pihak sekolah.

“Kriteria yang ditekankan dalam pemilihan itu adalah murid yang dilihat berpotensi untuk mencapai keputusan cemerlang dalam UPSR nanti dan mereka yang terdiri daripada kategori berpendapatan rendah
(B40).

“Untuk UPSR, ia pertama kali dijalankan pada tahun ini. Kalau seminar ini mendapat permintaan daripada Jabatan Pendidikan dan guru pun efektif, kita mungkin akan pertimbangkan pelaksanaannya sekali lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Kecemerlangan UPSR Peringkat Wilayah Persekutuan di Dewan Sekolah Kebangsaan Presint 11 (1) di sini baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Pengawai Eksekutif YWP, Zaizalnizam Zainun dan Pengarah Jabatan Pendidikan WP Putrajaya, Farizah Ahmad.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas