Berita

Bot penumpang baharu lebih selesa

ROZMAN (dua dari kiri) bergambar bersama operator bot Perdana Express pada majlis perlancaran bot baharu tersebut baru-baru ini.
ROZMAN (dua dari kiri) bergambar bersama operator bot Perdana Express pada majlis perlancaran bot baharu tersebut baru-baru ini.
- Diterbit 4 Julai 2019 7:24 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]

LABUAN – Usaha kerajaan untuk merancakkan semula ekonomi Labuan kini berada di landasan tepat melalui penambahbaikan pengangkutan tradisonal iaitu bot penumpang ke pulau bebas cukai berkenaan.

Menurut Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli, sebuah syarikat operator bot, Perdana Express telah membuat pelaburan kira-kira RM300,000 untuk menyediakan sebuah bot penumpang bagi laluan Labuan – Menumbok, Sabah.

“Bot yang berkapasiti 40 penumpang yang lengkap dengan ciri-ciri keselamatan mengambil masa kira-kira 30 minit untuk perjalanan di kedua-dua tempat, Labuan dan Menumbok.

“Bot itu memberikan ke­selesaan kepada penumpang kerana ruangan dalaman yang selesa dan penumpang tidak perlu tunduk untuk bergerak di dalam bot selain susunan kerusi seperti dalam bas,’’ katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Menurut Rozman lagi, dengan sistem tiket secara online yang diperkenalkan sudah pasti dapat menarik lebih ramai pengunjung ke Labuan sekali gus membantu merancakkan ekonomi setempat kerana pelancong akan dapat merancang perjalanan mereka ke Labuan dan Menumbok.

Kata Rozman lagi, ketika ini terdapat lebih 100 bot laju gentian kaca berlesen beroperasi di laluan Labuan-Menumbok-Labuan dan Sipitang-Labuan-Sipitang dengan kapasiti 14 hingga 16 penumpang bagi setiap perjalanan.

Jelasnya lagi, para pengusaha bot perlu mengambil peluang untuk meningkatkan perkhidmatan masing-masing melalui persaingan sihat seperti ini.

“Dengan perkhidmatan yang berkualiti, saya optimis perkhidmatan bot akan menjadi sibuk dan dijangka ada pertambahan sebanyak tiga lagi buah bot penumpang pada penghujung tahun hadapan,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas