Berita

Kuala Lumpur yang lebih selamat

TAN Sri TPr Annuar Musa menggulung jawapan Kementerian Wilayah
- Diterbit 7 Ogos 2020 1:57 AM MYT

KUALA LUMPUR bakal setanding ibu kota dunia dalam usaha
untuk menjadikan bandaraya ini sebagai bandar pintar dan
selamat.

Bagi menjayakan hasrat tersebut, Kementerian Wilayah Persektuan (KWP) merencanakan lebih 5,000 unit kamera televisyen litar tertutup (CCTV) di segenap penjuru Kuala Lumpur bagi meningkatkan imejnya setanding dengan bandar raya utama lain di seluruh dunia.

CCTV yang dikelolakan oleh Command Centre Traffic  Information System ini mempunyai keupayaan kecerdasan buatan dan pengecaman wajah untuk melaksanakan pelbagai fungsi merangkumi pengurusan trafik, pemantauan jenayah,
kawasan banjir dan tamantaman awam.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa
dalam ucapan penggulungan untuk KWP di parlimen pada Rabu memberikan perincian terhadap cadangan tersebut.

“Kita telah mendengar laporan yang dikemukakan bahawa
kadar jenayah di KL tinggi. Seperti mana yang kita tahu, kaedah pembanterasan jenayah ada pelbagai cara yang dilakukan dan melibatkan pelbagai agensi.

“Satu kaedah yang digunapakai oleh bandar-bandar di seluruh
dunia adalah untuk mempastikan apa juga yang berlaku dalam sesebuah bandar dapat dirakamkan supaya tindakan-­tindakan cepat dapat diambil.

“Apabila berlaku sesuatu kes seperti jenayah, kemalangan, bencana ataupun hal-hal yang lain yang berkaitan dengan urban management termasuk trafik, banjir kilat dan  sebagainya,” katanya.

Untuk rekod, ketika ini Kuala Lumpur masih berada jauh dibelakang jika dibandingkan dengan ibukota lain dari sudut ratio pemasangan CCTV berdasarkan kepada 1000 penduduk.

Bandar raya Beijing memasang 56 unit kamera untuk setiap
1000 penduduk, bandar raya London 67, hatta negara jiran
Singapura, memasang 15 kamera dan Bangkok lima unit.

Dijangka pada tahun 2021, Kuala Lumpur akan mempunyai 5680 unit CCTV.

Walaubagaimanpun, jumlah ini adalah sangat rendah di mana
nisbah CCTV berbanding 1,000 orang bagi Kuala Lumpur adalah kurang daripada tiga CCTV (2.9).

Annuar berkata, KWP berpendapat sudah sampai masa untuk pihaknya menaiktaraf kamera-kamera yang dipasang sebelum ini untuk tujuan spesifik dan berbeza-beza.

“Sebagai contoh, ada kamera dipasang untuk kawalan trafik, ada kamera hanya beberapa ratus unit yang dipasang dan dikawal selia oleh pihak polis dan adanya kamera dipasang
untuk peristiwa-peristiwa besar contohnya persidangan seperti
APEC yang hendak dijalankan.

“Setiap kamera mempunyai fungsi yang berbeza-beza dan teknologi terkini memungkinkan semua kamera ini boleh
dilengkapkan untuk fungsi yang berbagai-bagai.

“Pada masa ini, terdapat kira-kira 1,900 kamera khusus untuk pemantauan lalu lintas, 100 unit kamera untuk pemantauan
Kawasan Hotspot Banjir, 270 bagi taman-taman awam untuk keselamatan awam dan pengawalan vandalisme.

“Kira-kira 130 kamera bagi kawasan River of Life (RoL) dan beberapa kamera dipasang di pasar-pasar termasuk untuk pemantauan kes-kes yang termasuk kesihatan, 309 kamera
untuk pemantauan jenayah,” katanya.

“Apa yang lebih penting, kesemua kamera ini diharap dapat menyumbangkan ke arah Kuala Lumpur yang lebih selamat atau safecity,” katanya sambil menambah agar semua kamera ini dapat diuruskan secara berpadu, dilengkapi dengan pelbagai fungsi supaya ia lebih ekonomi.

Kata Annuar, beliau berharap jumlahnya dapat dipertingkatkan dan telah meminta kepada DBKL untuk mempertimbangkan
agar memasukkan dalam Perintah Pembangunan (DO) kepada
mana-mana pemaju yang menerima kelulusan membangunkan
sesatu kawasan di Kuala Lumpur.

“Apabila mana-mana pemaju yang telah diluluskan pembangunan, mereka dikehendaki memasang kamera dengan spesifikasi tertentu agar jumlah kamera bukan hanya  dibekalkan oleh kerajaan tetapi ia turut dipasang oleh pihak swasta.

“Ia bertujuan agar jurang ratio yang agak rendah pada masa ini berbanding bandaraya lain dapat dipertingkatkan untuk bandar raya Kuala Lumpur,” katanya.

Dalam pada itu, dalam soalan tambahan yang dikemukakan
oleh Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai), Annuar turut mengakui bahawa setiap teknologi itu agak cepat dan pantas telah berlaku keadaan di mana hardware atau alat ganti yang dahulu sudah tidak sesuai diguna untuk masa kini kerana perancangan kamera pada masa itu digunakan untuk pengawalan traffik.

“Dengan matlamat dan kaedah baru sememangnya DBKL perlu
melihat secara menyeluruh dan diintegrasikan,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas