Berita

Projek rumah mampu milik tergendala kerana dihentikan oleh kerajaan PH

Gambar hiasan
- Diterbit 7 Ogos 2020 1:50 AM MYT

BEBERAPA projek perumahan mampu milik tergendala kerana dihentikan oleh kerajaan terdahulu dedah Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa di Dewan Rakyat pada Rabu.

Menurutnya, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) pada awalnya mensasarkan untuk menyediakan 80,000 unit rumah mampu milik di Wilayah Persekutuan yang dijadualkan siap pada akhir 2028.

“Sehingga 30 Jun 2020, sebanyak 57,799 unit iaitu 93 projek telah dikeluarkan kelulusan Perintah Pembangunan (DO) bagi membina rumah kepada warga Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur sebanyak 54,111 unit, Putrajaya sebanyak 2,908 unit dan Labuan sebanyak 780 unit.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 15,431 unit rumah iaitu 26 projek telah siap dibina dan 27,332 unit rumah iaitu 37 projek masih dalam pembinaan.

“Beberapa projek telah tergendala kerana keputusan pentadbiran terdahulu menamatkannya sebelum waktu (secara pramatang) dan oleh itu peratusan projek yang masih belum siap agak tinggi,” katanya dalam ucapan penggulungan KWP.

Menurut Annuar, kementeriannya kini juga memberi tumpuan kepada Program Residensi Prihatin bagi membantu warga Wilayah Persekutuan berpendapatan rendah untuk memiliki kediaman berkualiti dengan harga RM200 ribu dan ke bawah untuk seunit rumah.

“5,000 unit disasarkan siap dalam tempoh tiga tahun,” katanya.

Selain dari itu, KWP juga memperkenalkan inisiatif Council Home yang menyediakan rumah kediaman bertingkat dengan keluasan sehingga 800 kaki persegi.

Rumah ini dilengkapi kemudahan asas dengan kadar sewa RM500 – RM850 bagi tempoh maksima selama lima tahun.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas