WK2

Kuala Lumpur QR Trail produk terbaharu pelancongan

IMBASAN kod QR menyajikan informasi tempat yang dilawati.
- Diterbit 1 September 2020 7:08 AM MYT

APABILA pandemik COVID-19 melanda negara, Kuala Lumpur merupakan kawasan yang paling teruk terjejas malah ia memberi kesan besar kepada sektor pelancongan lebih-lebih lagi apabila sempadan negara ditutup kepada pelancong antarabangsa.

Dek kerana itu, pelancongan domestik perlu dirancakkan supaya dapat menggalakkan rakyat Malaysia melancong dalam negara. Pun begitu, ia merupakan perkara mudah untuk dilaksanakan.

Agar aktiviti pelancongan tidak menjadi lebih suram, maka Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sentiasa mengikuti perkembangan dan strategi yang disusun oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Menurut Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Mohd Nazam Harun, pihaknya telah melancarkan produk pelancongan baru iaitu Kuala Lumpur QR Trail yang menggunakan kod imbasan QR bagi mendapatkan maklumat dan informasi berkaitan lokasi tersebut.

 MOHD NAZAM

“Setakat ini, terdapat 17 check point yg terlibat dalam fasa pertama iaitu Dataran Merdeka KLQR Trail. Selepas ini, DBKL akan memperluaskan kepada kawasan seluruh Kuala Lumpur. Menariknya info yang diperoleh menjangkau lingkungan satu kilometer,” katanya.

Ujarnya lagi, terdapat 34 program utama berbentuk penggalakan pelancongan sepanjang tahun 2020 termasuklah KL Samrah Festival, Muzik Festival, KL Run, KL Genta Festival dan banyak lagi.

“Walaubagaimanapun, acara ini adalah tertakluk kepada perubahan keadaan dan prosedur operasi standard (SOP) oleh Majlis Keselamatan Negara sama ada sesuai atau tidak untuk dilaksanakan.

“Terkini, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan turun bersama para wartawan melihat lokasi sekitar Kuala Lumpur antaranya Dataran Merdeka, Kolam Biru River of Life, Jejak Warisan, Bukit Bintang Street Art, Taman Eko Rimba Kuala Lumpur, Muzium Diraja, Menara Kuala Lumpur dan beberapa tempat lagi.

“Langkah ini bagi melihat usaha-usaha yang boleh dilaksanakan dan membantu penggiat industri sekitar di samping usaha mempromosikannya. Kita juga bercadang mengembangkan penggunaan teknologi dengan melaksanakan Kuala Lumpur Augmented Reality Trail bagi menarik minat kanak-kanak dan golongan remaja mendapatkan maklumat sejarah serta tempat-tempat menarik sekitar Kuala Lumpur,” ujarnya.

Selain itu, Kuala Lumpur Tourism Master Plan 2015-2025 yang dilancarkan pada 2015 berfungsi memacu perancangan sektor pelancongan di Kuala Lumpur dengan 47 inisiatif utama yang telah dirangka.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas