WK2

Jenguk sejarah sendiri sebelum keluar

BANDARAYA Kuala Lumpur menyimpan sejarahnya yang tersendiri.
- Diterbit 1 September 2020 7:31 AM MYT

SERINGKALI masyarakat Malaysia berkongsi pengalaman mengembara ke negara luar dan menceritakan tentang sejarah kawasan tersebut.

Namun tanpa disedari, mereka langsung tidak mengetahui bahawa Malaysia juga mempunyai pelbagai sejarah lampau serta tapak bangunan lama yang masih belum diterokai.

Menurut Pensyarah Pelancongan Kolej Komuniti Jerai, Nazni Ahmad Nazri, sikap masyarakat setempat yang lebih membanggakan budaya serta negara luar menjadikan sejarah dan warisan Malaysia seolah-olah tidak dihargai.

Malah, katanya, keadaan itu menyebabkan ramai yang terlepas pandang warisan sejarah khususnya di Kuala Lumpur yang kini ditenggelami bangunan tinggi dan moden.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh menyalahkan sikap segelintir individu yang lebih menghargai negara luar.

NAZNI

“Ini kerana, penghargaan terhadap nilai kebudayaan dan sejarah di Malaysia sudah lama hilang berikutan bangunan lama dirobohkan demi memberi laluan kepada binaan moden,” katanya ketika dihubungi Wilayahku.

Menurut Nazni, jika pemaju dan perancang bandar mengetahui tentang kepentingan pelancongan mampan, pastinya ia dipelihara untuk tatapan generasi masa kini dan akan datang selain dijadikan salah satu tarikan pelancongan.

Jelas beliau, mengambil contoh Itali, negara tersebut bukan hanya mengekalkan malah memulihara bangunan seperti Colosseum dan Arch of Constantine yang merupakan hasil sisa bangunan Vespasian.

“Kita rasa seronok dan teruja untuk pergi melawat tetapi di negara sendiri, kita abaikan.

“Jika bangunan lama seperti tapak peninggalan kolonial dipelihara, pastinya ramai pelancong luar ingin datang ke Malaysia,” tegasnya.

REAKSI

“KITA tidak perlu pergi jauh untuk belajar tentang sejarah kerana di Kuala Lumpur terkandung pelbagai sejarah penting negara yang tidak akan pernah hilang.”

NURSARAH SUSANNA NORARMAN
Pelajar

 

 

 

“TEMPAT bersejarah di Kuala Lumpur seperti bangunan Keretapi Tanah Melayu (KTM), Tugu Negara dan Dataran Merdeka secara tidak langsung membangkitkan semangat patriotik. Lokasi berkenaan turut membuatkan saya teringat perjuangan nenek moyang kita untuk memerdekakan negara.”

NOR AZURIN ALI
Pekerja swasta

 

 

“SAYA gembira apabila mendapat tahu bandaraya Kuala Lumpur akan mempromosikan bangunan bersejarah sebagai produk pelancongan. Semoga sejarah negara terus terpelihara.”

ABDULLAH FIRDAUS ABD. JALIL
Pengarah Urusan Sportflex

 

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas