Fokus

Jejak Warisan Merdeka Malaysia

TUGU Negara telah disiapkan pada 8 Februari 1966 untuk memperingati parajurit yang gugur dalam medan perang.
- Diterbit 1 September 2020 6:49 AM MYT

SELAIN bangunan Sultan Abdul Samad, Muzium Diraja Negara dan Masjid Jamek, generasi muda masa kini pastinya tidak mengetahui terdapat lebih 300 lagi bangunan serta tapak lama di Kuala Lumpur yang tidak lapuk dek zaman.

Bagaimanapun, tinggalan sejarah itu ditenggalam dalam kepesatan arus permodenan yang lebih mengagungkan bangunan pencakar langit.

Malah, berdirinya Menara Maybank (pernah dikenali sebagai bangunan tertinggi di Kuala Lumpur) dan disusuli Menara Berkembar Petronas (KLCC) serta beberapa lagi menara melebihi 200 meter menjadikan warisan masyarakat terdahulu seolah-olah tidak dihargai di era pembangunan ini.

Lebih mengecewakan apabila warganegara Malaysia begitu membanggakan bangunan dan sejarah lama yang terdapat di luar negara tanpa menyelidiki lokasi tempatan turut ‘dipenuhi’ tapak warisan silam.

Justeru, bagi membuka mata dan mengubah persepsi masyarakat setempat tentang peninggalan yang ada, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan projek ‘Jejak Warisan’ secara berperingkat bermula 2016.

DBKL tonjolkan 353 tapak, bangunan bersejarah

JEJAK Warisan Kuala Lumpur yang dilaksanakan itu akan merangkumi maklumat sejarah tentang keseluruhan 353 lokasi yang mana ia dapat dibaca menerusi papan tanda digital yang akan dipasang bermula tahun hadapan.

Menerusi projek tersebut itu juga, sebanyak 17 cerita sejarah sudah dikumpul termasuk kisah fasa akhir Perang Klang (Perang Saudara Selangor) dengan sekurang-kurangnya 11 daripada jumlah
terbabit boleh dihayati secara berjalan kaki sahaja.

SULAIMAN

Pengarah Perancangan Bandaraya DBKL, Sulaiman Mohamed berkata, pihaknya sudah mengenal pasti kesemua tapak dan bangunan di sekitar ibu negara untuk disenaraikan sebagai titik sejarah
bagi tujuan pelancongan di bawah program berkenaan.

“Kalau tengok jejak warisan itu, kita sudah bahagikan kepada 18 tema antaranya Batu Road, Kampung Baru, Brickfields, Bukit Nanas, Jalan Ampang, Kuala Lumpur HQ, Lake Garden, Dalam Kenangan, Merdeka Malaysia, Rimbun Pusaka dan Rumah Nostalgia.

“Di jejak warisan ini akan ada logo-logo mengikut tema yang menunjukkan lokasi tersebut adalah laluan bersejarah malah pengunjung berpeluang mengetahui kisah tersirat yang berlaku dikawasan berkenaan,” katanya kepada Wilayahku pada Isnin.

Menurut Sulaiman, pembinaan laluan bersejarah secara berperingkat itu sudah hampir siap dan pihaknya dalam proses memasang papan tanda digital yang akan memaparkan penceritaan serta cerita lama berkaitan laluan.

Jelasnya, pemasangan itu dijangka dilakukan pada suku pertama tahun hadapan berikutan ia tergendala disebabkan penularan wabak Covid-19.

Mengulas lanjut, Sulaiman memberitahu, jajaran Lebuh Ampang yang bermula di Panggung Bandaraya di hadapan Dataran Merdeka hingga terowong misteri Bukit Nanas membabitkan laluan sejauh 1.5 kilometer dan ia terlibat dalam siri pertama projek berkenaan.

“Di laluan ini terdapat sebuah masjid lama yang dikenali Masjid Java Street. Binaan ini wujud sekitar tahun 1870-an,” katanya.

LOGO Jejak Warisan yang diletakkan di 353 kawasan bersejarah di Kuala Lumpur.

MERDEKA MALAYSIA

Menceritakan tentang tema Merdeka Malaysia, ujar beliau, kisah tersebut bermula di King’s House yang kini dikenali sebagai Seri Negara.

Jelasnya, tempat bersejarah itu merupakan lokasi di mana Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu ditandatangani pada tahun 1948 dan 1957.

“Sebuah Majlis Perundangan ditubuhkan setelah perjanjian ditandatangani. Dua tahun selepas Pilihan Raya Umum pertama diadakan, ribuan orang hadir menyaksikan penurunan bendera Union Jack di Padang Kelab Selangor dan pengibaran bendera Tanah Melayu untuk kali pertama pada 31 Ogos 1957.

“Perayaan diteruskan di Stadium Merdeka pada keesokan paginya di upacara pengisytiharan rasmi.

“Upacara seumpama itu juga diadakan setelah Sabah, Sarawak dan Singapura bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu untuk membentuk Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963,” jelasnya.

Bercerita lanjut, tambah Sulaiman, sempena penggabungan tersebut, Yang di-Pertuan Agong ketiga, Tuanku Syed Harun Putra mengisytiharkan tujuh bangunan sebagai simbol asas pembentukan Malaysia.

Katanya, tujuh bangunan itu adalah Bangunan Parlimen; Masjid Negara; Stadium Merdeka dan Stadium Negara; Tugu Kebangsaan; Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP); Muzium Negara dan Universiti Malaya (UM).

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa koleksi penceritaan yang disediakan DBKL adalah untuk memperkenalkan tapak-tapak bersejarah berkaitan Merdeka dan bangunan ikonik
berkenaan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas