Berita

Kuala Lumpur dalam kenangan – Nor Hisham

NOR HISHAM (dua kanan) dalam satu majlis serah tugas
- Diterbit 9 Oktober 2020 10:42 AM MYT

SETELAH dua tahun berkhidmat sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur, 30 September lalu menjadi memori terakhir bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, 64, di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Biarpun diselubungi perasaan sayu, namun jauh di sudut hati, beliau gembira kerana telah berusaha sedaya upaya menjalankan tanggungjawab dengan penuh integriti sepanjang menjawat jawatan.

Meninggalkan tugas sebagai pentadbir bandaraya yang menjadi tumpuan dunia, bukanlah bermakna beliau terus melupakan namun ia terus bersemadi di jiwa.

Malah, beliau berharap Kuala Lumpur terus maju dan mencapai matlamat sebagai sebuah kota bertaraf dunia yang dapat dinikmati oleh semua penduduk bandaraya.

“Saya ingin terus melihat sebuah bandaraya yang bersemangat bukan sahaja daripada segi pembangunan bahkan penuh dengan peluang dan jurang perniagaan sehingga semua orang dapat merasakan kepemilikan itu sendiri,” ujar beliau.

Tambah beliau, pembangunan tidak seharusnya hanya untuk Pavilion sahaja bahkan harus juga untuk peniaga-peniaga kecil,” katanya yang berharap Kuala Lumpur turut menjadi tempat yang selamat, aman damai dengan kehijauan alam sekitar.

Nor Hisham yang juga bekas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengimpikan untuk melihat ibu negara menjadi sebuah bandar yang berpusatkan rakyat.

“Disebabkan itu, kita melibatkan orang ramai untuk mengambil bahagian dalam Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 kerana ia pasti dapat dilaksanakan dengan berjaya jika penduduk di Kuala Lumpur turut membantu DBKL ke arah tersebut.”

“Satu tujuan keberadaan di posisi ini adalah untuk kebaikan masyarakat di Kuala Lumpur, tidak mengira kaum, agama dan sebagainya,” kata beliau yang mewujudkan peluang pekerjaan terutamanya kepada mereka yang telah hilang pekerjaan pasca COVID-19 melalui DBKL.

Mengulas tentang pelantikan bekas Pengarah Eksekutif (Perancangan) DBKL Datuk Mahadi Che Ngah sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur baharu, ujar beliau siapapun yang berada di kerusi tersebut akan terus mengikut polisi dan kekal bertugas sebagai penjawat awam.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas