Atlet Wilayah

Atlet perlu ada ilmu akademik

PUTERI (kanan) merupakan antara penjaring terbaik Wilayah
- Diterbit 9 Oktober 2020 10:34 AM MYT

TIDAK dinafikan kerana terlalu sibuk mengejar dunia sukan, ramai atlet yang tercicir dalam pelajaran sehinggakan tidak kurang juga ada yang mengambil keputusan melupakan terus bidang
akademik.

Itu realiti yang banyak dilihat masa kini. Mereka seolah-olah lupa bahawa ilmu dan sukan seharusnya bergerak seiring jika ingin terus berjaya pada masa hadapan. Tanpa pelajaran, mereka akan terlihat seperti tin kosong.

Mengakui kebenaran perkara tersebut, atlet bola jaring Wilayah Persekutuan, Puteri Intan Balqis Ahmad Dzulkefli, 20, berkata dia tidak mahu dilihat sebagai seorang atlet yang tidak bijak.

“Sungguhpun mencintai sukan bola jaring namun saya tidak pernah sesekali mengabaikan pelajaran dan menjadikan gelaran atlet sebagai suatu halangan. Itu janji saya pada keluarga selama ini,”
ujarnya.

Sebagai pelajar di Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas, Kuala Lumpur, Puteri menyimpan cita-cita besar untuk bergelar pendidik apabila tamat pengajian pada tahun 2023 kelak.

“Kalau boleh saya ingin bergelar atlet yang berpendidikan tinggi. Malah besar harapan suatu hari nanti dapat mendidik pelajar menjadi pemain bola jaring yang hebat,” ujarnya yang berada diposisi penjaring.

Aktif menyertai kejohanan dalam dan luar negara, gadis kelahiran Kuala Lumpur ini pernah membantu Malaysia merangkul tempat pertama dalam Kejohanan Bola Jaring Jemputan Sri Lanka di Colombo tahun lalu.

“Pihak kampus juga berbangga dengan kejayaan yang dikecapi. Tanpa sokongan padu daripada mereka disekeliling, mustahil untuk saya pergi jauh ke hadapan,” ujarnya pemain yang memiliki
ketinggian 180 sentimeter ini.

Bercerita lanjut tentang perkembangan terbaharu, anak sulung daripada empat orang adik-beradik ini tidak sabar untuk beraksi pada Kejohanan SUKMA Johor 2020 yang dijangka berlangsung
pada April depan.

“Rasanya sudah terlalu lama duduk berehat tanpa menyertai sebarang kejohanan yang besar. Sekarang saya sedang sibuk menjalani latihan bersama skuad Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Doakan yang terbaik untuk kami,” katanya kepada Wilayahku.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas