KPN dan tiga lagi mohon batal saman Indira Gandhi

KPN dan tiga lagi mohon batal saman Indira Gandhi

KETUA Polis Negara (KPN) dan tiga pihak lain hari ini memohon untuk membatalkan saman difailkan guru tadika, M. Indira Gandhi berhubung dakwaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) gagal melaksanakan waran komital untuk menangkap bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah dan memulangkan anak perempuan mereka berusia 13 tahun yang dilarikan lelaki itu, 12 tahun lepas.

Peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili Indira ketika dihubungi Bernama berkata permohonan untuk membatalkan saman itu dimaklumkan oleh Peguam Kanan Persekutuan (SFC) Safiyyah Omar yang bertindak bagi pihak kesemua defendan kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Idamasliza Maarof ketika prosiding berlangsung menerusi sistem dalam talian (e-Review) hari ini.

“Pihak SFC turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa permohonan berkenaan diserahkan kepada plaintif (Indira) hari ini.

“Permohonan plaintif supaya KPN menjawab 48 soalan berhubung siasatan ke atas bekas suaminya juga telah diserahkan kepada defendan pertama itu (KPN) semalam,” kata peguam itu yang turut memaklumkan pengurusan kes selanjutkan ditetapkan pada 19 Feb ini menerusi e-Review, juga di hadapan Idamasliza.

Pada 11 Jan lepas, Indira memfailkan permohonan interogatori bagi mendapatkan perintah mahkamah, supaya KPN menjawab kesemua 48 soalan secara bertulis, melalui afidavit mengikut Aturan 26 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Indira antara lain memohon KPN menjawab soalan berkaitan siasatan dijalankan termasuk lokasi bekas suaminya, yang sebelum ini dikenali sebagai K. Patmanathan yang didakwa berada di Selatan Thailand.

Pada 28 Okt tahun lepas, Indira, 46, selaku plaintif memfailkan saman dengan menamakan KPN, PDRM, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia, selaku defendan.

Dalam penyataan tuntutannya, Indira mendakwa defendan pertama iaitu KPN telah dengan sengaja dan cuai tidak menghiraukan perintah mandamus daripada Mahkamah Persekutuan, kerana gagal membuat siasatan atau mengambil tindakan sewajarnya, untuk mengembalikan Prasana Diksa kepadanya.

Dakwa wanita itu, kesemua defendan mempunyai peranan dalam membuat keputusan atau memberi arahan kepada PDRM, bagi melaksanakan waran komital terhadap Muhammad Riduan seperti yang diperintahkan Mahkamah Persekutuan, pada 29 April 2016.

Plaintif juga mendakwa kelakuan kesemua defendan secara langsung, menyebabkan perpisahan antara beliau dengan anak bongsunya itu berlanjutan sehingga hari ini dan Muhammad Riduan berjaya melarikan diri.

Oleh itu, Indira antara lain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta faedah, selain memohon deklarasi bahawa defendan pertama telah melakukan ‘tort nonfeasance’ di pejabat awam dan defendan kedua, ketiga dan keempat, bertanggungjawab secara vikarius bagi tort nonfeasance yang dilakukan defendan pertama. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS