Berita

KPM seru pertimbang memakai pakaian sukan yang sopan semasa cuaca panas

- Diterbit 19 Mac 2024 4:52 PM MYT

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) menyeru semua institusi pendidikan untuk memberi pertimbangan kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana memakai pakaian sukan yang sopan semasa cuaca panas berdasarkan kepada keperluan dan situasi semasa di institusi masing-masing.

KPM dalam satu kenyataan berkata KPM prihatin terhadap penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid, guru dan seluruh warga institusi pendidikan bawah kelolaannya semasa menghadapi keadaan cuaca panas ataupun sebarang keadaan cuaca yang di luar jangka.

Justeru itu, tambahnya, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan semua institusi pendidikan bawah KPM diminta untuk melaksanakan langkah-langkah pencegahan.

“Antaranya seperti menangguhkan semua aktiviti luar bilik darjah jika cuaca terlalu panas; memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada keadaan cuaca panas bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas; dan memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi di institusi pendidikan bawah KPM dan menggalakkan murid membawa air minuman sendiri bagi yang tidak berpuasa atau murid bukan Islam.

“Langkah pencegahan lain seperti, menasihati dan menggalakkan murid mengambil air minuman dalam kuantiti yang sesuai bagi mengawal suhu badan; membekalkan air minuman kepada murid asrama sekiranya keadaan kritikal dan tiada sumber lain bagi mendapatkan air minuman; dan sentiasa berwaspada serta bekerjasama dengan klinik dan hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang komplikasi ke atas murid akibat cuaca panas,” katanya hari ini.

Jelas KPM, semua institusi pendidikan bawah KPM dinasihati agar sentiasa mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan.

“Institusi pendidikan juga perlu peka dengan perkembangan semasa melalui media mengenai fenomena cuaca panas di kawasan masing-masing dan mematuhi saranan pihak berkuasa dari semasa ke semasa bagi menjamin kesihatan seluruh warga institusi pendidikan,” ujarnya.

KPM turut menegaskan pihak kementerian mengambil berat kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warganya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas