Berita

Konsert MotoGP semarakkan sambutan ulang tahun ke-25 SIC

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 3 April 2024 9:25 AM MYT

LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) bakal menganjurkan sebuah konsert bersempena dengan perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia 2024 di sini pada 1 hingga 3 November ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata konsert yang dijangka dimeriahkan dengan kehadiran artis tempatan dan luar negara itu merupakan sebahagian daripada aktiviti diatur pihaknya bagi menghangatkan lagi sambutan ulang tahun ke-25 litar ikonik negara berkenaan.

“Kami akan umumkan senarai artis yang terlibat dan diharapkan agar penganjuran perlumbaan MotoGP Malaysia tahun ini berjalan lancar,” katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar Ramadan SIC di sini malam tadi.

Sementara itu, Azhan Shafriman berkata sambutan jualan tiket MotoGP Malaysia musim ini agak memberangsangkan dengan jualan sejak awal tahun ini mencatat keuntungan tiga kali ganda berbanding tempoh sama tahun lepas.

Dalam perkembangan lain, beliau optimis langkah pemilik Formula Satu (F1), Liberty Media dari Amerika Syarikat yang bersetuju membeli MotoGP dengan perjanjian bernilai kira-kira US$4.5 bilion (RM21.26 bilion) daripada pemilik asal Dorna Isnin lepas, bakal melonjakkan lagi aspek pemasaran perlumbaan dua roda terkemuka dunia itu.

“Kita dapat lihat terdapat perubahan pada F1 sejak Liberty Media ambil alih (pada 2017),  jadi dengan adanya pemilikan daripada mereka, saya harap strategi pemasaran MotoGP menjadi lebih menarik pada masa akan datang,” katanya.

MotoGP dalam satu kenyataan memaklumkan Liberty Media akan memperoleh kira-kira 86 peratus kepentingan, manakala Dorna, yang berpangkalan di Sepanyol, mengekalkan pegangan ekuiti 14 peratus dalam perniagaan mereka. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas