Berita

Kod etika wartawan tidak halang, kawal wartawan lapor berita

- Diterbit 13 Mac 2024 1:10 PM MYT

KOD Etika Wartawan Malaysia yang dilancarkan pada 20 Februari lepas bukan untuk menghalang atau mengawal mana-mana wartawan melaporkan berita.

Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), Datuk E. Sivabalan berkata apa yang ditularkan sesetengah pihak kononnya kod etika itu menyekat kebebasan media, mungkin disebabkan mereka tidak memahami isi kandungan kod etika berkenaan.

“Kalau tidak baca dan tidak memahami memang seseorang itu tidak akan faham … adakah kod etika ini kita tulis wartawan tidak dibenarkan mencaci atau mengkritik kerajaan? Tidak ada. Kita juga tidak tulis wartawan tidak dibenarkan memasuki sesuatu kawasan dan sebagainya.

“Saya wartawan, dahulu, kini dan selamanya wartawan memang saya sendiri tidak akan bersetuju kalau dokumen ini dijadikan sebagai satu bentuk kawalan kepada wartawan … sebab itulah baca dahulu dan fahami,” katanya ketika menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM yang disiarkan di saluran TV1 hari ini.

Dalam pada itu, Sivabalan berkata Jawatankuasa Rayuan dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi akan mula beroperasi tidak lama lagi antara lain berfungsi untuk melihat semula kes-kes Kad Perakuan Media yang ditarik balik.

“Ada dua, tiga kes yang kita tarik kad mereka, kita akan beri peluang untuk merayu bila jawatankuasa ini beroperasi kelak,” katanya.

Kod Etika Wartawan Malaysia yang merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi menerusi JaPen menggarap lapan etika utama dan telah dilancarkan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas