Berita

KL jadi bandaraya terawal di dunia capai 80 peratus imuniti berkelompok

SALOMA LINK menghubungkan Kampung Baru dengan KLCC.
- Diterbit 12 Ogos 2021 1:39 PM MYT

KUALA Lumpur bakal menjadi bandaraya terawal di dunia yang mencapai 80 peratus imuniti berkelompok untuk penduduk dewasa.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, sehingga hari ini, Kuala Lumpur telah berjaya mencapai 78 peratus atau 1.38 juta individu yang melengkapkan dua dos vaksin.

“Insya Allah, dua hari lagi, hujung minggu ini kita bakal mencapai 80 peratus atau 1.48 juta vaksinasi. Wilayah (Persekutuan) kedua selepas Labuan,” katanya dalam hantaran di facebook hari ini.

Justeru itu Annuar berkat, Kuala Lumpur perlu membuat persiapan untuk bergerak ke Fasa 3 di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Ia akan dilaksanakan secara berperingkat. Semua kegiatan ekonomi dan kehidupan rakyat akan mula di buka,” katanya.

Dalam pada itu, Annuar akan melibatkan semua pihak termasuk ahli parlimen kerajaan dan pembangkang, tokoh korporat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam sebuah Jawatankuasa Penasihat Pemulihan Wilayah Persekutuan (JPWP).

“Ahli parlimen UMNO, Bersatu, DAP,PKR, Senator, tokoh, korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Jawatankuasa ini dapat bersama membantu pelaksanaan program pemulihan yang berkesan di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Annuar sebelum ini telah mencadangkan penubuhan JPWP bagi merangka strategi pemulihan untuk membuka semula sektor ekonomi, sosial dan budaya selepas program vaksinasi di kesemua Wilayah Persekutuan bakal mencapai 80 peratus imuniti berkelompok untuk warga dewasa.– WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas