Berita

Hadiah rumah PPR paling bermakna untuk saya – Fendy Caliph Busker

ANNUAR menyerahkan surat tawaran rumah PPR kepada Fendy Adlun pada Jumaat lalu.
- Diterbit 13 Ogos 2021 7:00 AM MYT

“PENDAPATAN pula tidak menentu dan adakala boleh mendapat kira-kira RM60 untuk satu sesi yang belangsung setiap Sabtu manakala ketika kejohanan Bola Sepak EURO dan Sukan Olimpik baru-baru ini, saya tidak mendapat pendapatan kerana orang ramai lebih gemar menonton kejohanan tersebut,” katanya.

Fendy yang juga bapa tunggal sejak tiga tahun lalu turut menjaga anak perempuannya, Nur Azalea Zafirah, 6, yang mempunyai masalah penglihatan dan autisme.

Justeru itu, keadaan tersebut menyebabkan beliau perlu mencari alternatif lain termasuk memohon rumah PPR kerana ketika ini, Fendy perlu menanggung sewa yang agak tinggi.

“Dengan pendapatan yang tidak menentu, saya perlu menyediakan kira-kira RM1,300 setiap bulan untuk melunaskan bayaran sewa dan ia tidak termasuk makan, minum dan keperluan anak.

“Oleh itu, melalui rumah PPR ini, perbelanjaan dapat dijimatkan dan ia boleh digunakan untuk pendidikan dan rawatan anak saya,” katanya.

Menurut Fendy, apa yang akan diingati sepanjang hayatnya adalah Tan Sri Annuar Musa merupakan pemimpin pertama yang menghubunginya untuk bertanyakan khabar selain berjanji untuk membantu beliau mendapatkan rumah PPR.

“Alhamdulillah dan saya tidak sangka, rumah itu di PPR Taman Mulia. Ia juga lengkap dengan keperluan untuk golongan seperti saya yang ada ramai kenalan yang cacat penglihatan serta anggota Caliph Buskers yang lain turut menetap di situ.

“Ia secara langsung, memudahkan saya ke mana-mana dan berkongsi tambang kenderaan atau memenuhi undangan persembahan apabila keadaan reda nanti,” katanya.

Sementara itu, Annuar berkata, dalam memberikan tawaran penyewaan perumahan awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), banyak kriteria tertentu yang perlu diperhalusi.

“Hasil semakan, beliau (Fendy) membuat permohonan pada 2014. Bagaimanapun, DBKL tidak dapat menawarkan mana-mana unit kerana tiada yang sesuai dengan keadaan pemohon.

“Saya mendapat maklumat mengenai luahannya melalui media sosial lalu terus menghubungi untuk bertanya khabar, masalah dihadapi dan latar belakang bagi mendapat maklumat terkininya,” katanya yang turut menyifatkan Fendy sebagai seorang yang gigih dan cekal menghadapi cabaran sebagai orang kurang upaya (OKU).

Annuar berkata, hasil semakan mendapati Fendy membuat permohonan pada Oktober 2014 dan memohon rayuan setahun kemudian dengan memaklumkan sudah memperoleh cahaya mata pertama pada Jun 2015.

“Bagaimanapun pada Mac 2016, DBKL memaklumkan penyewaan tidak dapat ditawarkan berikutan tiada kekosongan.

“Namun sekali lagi beliau merayu DBKL membantu mendapatkan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau rumah mampu DBKL berikutan keadaan begitu mendesak, terjejas pendapatan sebagai pemuzik jalanan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Justeru pada 22 Julai lalu, DBKL memberikan surat tawaran menduduki kediaman dua bilik di PPR Taman Mulia, Bandar Tun Razak dengan sewaan RM124 sebulan,” katanya.

Dalam hantarannya di laman facebooknya, Annuar bersyukur kerana berpeluang untuk menolong Fendy mendapatkan rumah di PPR Taman Mulia dan akan membayarkan sewa bulanan selama setahun untuk membantu Fendy. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas