Berita

KPN tetapkan SOP rumah ibadat selain Islam untuk penerima lengkap vaksinasi

JUMLAH bilangan penganut yang boleh hadir ke rumah ibadat bagi tujuan aktiviti keagamaan atau sembahyang bergantung kepada negeri atau fasa semasa mereka menetap.
- Diterbit 12 Ogos 2021 9:17 AM MYT

KEMENTERIAN Perpaduan Negara (KPN) telah menyelaras prosedur operasi standard (SOP) bagi pembukaan Rumah Ibadat Selain Islam dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk penerima vaksin lengkap.

“Jumlah bilangan penganut yang boleh hadir ke rumah ibadat bagi tujuan aktiviti keagamaan atau sembahyang bergantung kepada negeri atau fasa semasa mereka menetap,” kata KPN dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi negeri di Fasa Satu dan Dua PPN, kehadiran penganut yang lengkap vaksinasi bagi tujuan aktiviti keagamaan atau sembahyang adalah terhad kepada 50 orang pada satu-satu masa dan waktu beroperasi dibenarkan dari pukul 6 pagi hingga 2 petang dan dari pukul 4 petang hingga 10 malam.

Bagi negeri di Fasa Tiga PPN, had kehadiran penganut yang telah lengkap vaksinasi bagi aktiviti keagamaan atau sembahyang tertakluk kepada saiz ruang sembahyang rumah ibadat, manakala waktu beroperasi dibenarkan adalah dari pukul 6 pagi hingga 2 petang, dan dari pukul 4 petang hingga 10 malam.

Menurut kenyataan KPN itu, penerima vaksin lengkap merujuk kepada penganut yang telah menerima dua dos suntikan vaksin jenis Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac, dan penganut berkenaan mestilah telah melepasi 14 hari dari tarikh suntikan dos kedua.

Bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan iaitu Johnson & Johnson dan CanSino, penganut berkenaan mestilah telah melepasi 28 hari dari tarikh suntikan.

Negeri  di Fasa Satu PPN ialah Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur, serta Selangor, dan Kedah.

Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang, Pulau Pinang dan Sabah berada di Fasa Dua PPN, manakala Perlis, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak berada di Fasa Tiga PPN. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas