Berita

KL belum mahu angkat bendera putih

KLFA enggan mengaku kalah.
- Diterbit 21 September 2020 5:03 AM MYT

TEWAS tipis 2-1 ditangan pendahulu Liga Perdana, Pulau Pinang pada Sabtu lalu di Stadium Bandaraya tidak mematahkan semangat pasukan Kuala Lumpur FA dalam persaingan merebut kejuaraan Liga Perdana dan slot ke Liga Super musim hadapan.

Berbaki tiga perlawanan liga, Ketua Jurulatih Kuala Lumpur, Nidzam Adzha Yusoff percaya anak buahnya mampu merealisasikan impian ke saingan Liga Super walaupun menyedari macam-macam boleh berlaku dalam tiga minggu akan datang.

“Kita masih mencuba tetapi  perlu pastikan naik ke Liga Super dulu, memang masih ada peluang. Ada dua perlawanan di laman sendiri lagi dan kita perlu ambil kesempatan itu. Mana tahu kalau pendahulu liga keciciran mata, mungkin rezeki kita.

“Tiga pasukan yang kita akan jumpa tak bermain corak begini dan berbeza dengan Pulau Pinang. Corak yang kita boleh kuasai permainan dan dapatkan mata,” tambahnya.

Pada perlawanan sabtu lalu, pasukan Pulau Pinang memanfaatkan aksi di laman sendiri apabila menang tipis 2-1 walaupun pada satu ketika kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Gol kemenangan Pulau Pinang pada minit-minit terakhir mengakhiri rekod tanpa kalah Kuala Lumpur yang ketinggalan tiga mata di tangga kedua dengan berbaki tiga perlawanan musim ini.

Gol pasukan Kuala Lumpur dihasilkan oleh pemain veteran, Indra Putra Mahayuddin yang menanduk masuk hantaran Fakrul Aiman Sidid untuk jaringan kedua musim ini dan ke-17 dalam tiga musim bersama KL. Manakala gol pasukan Pulau Pinang dihasilkan oleh Anselmo Arruda Da Silva dan Rafael Vitor. -WILAYAHKU/MUHAMAD NIZAM

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas