Berita

Yakult sokong industri sukan negara

MENTERI Belia dan Sukan Malaysia, Datuk Sri Reezal Merican Naina Merican (dua kiri) menyampaikan simbolik kerjasama kepada Hamada di Bukit Jalil baru-baru ini.
- Diterbit 21 September 2020 5:16 AM MYT

MENYEDARI kepentingan melibatkan bidang kesihatan sukan sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat  kepada masyarakat, Yakult Malaysia  melanjutkan kerjasama bersama Institut Sukan Negara (ISN) selama tiga tahun lagi.

Bermula Ogos 2020 hingga Ogos 2023, Yakult dilantik secara rasmi sebagai minuman probiotik ISN dan turut diberi keutamaan dalam mengadakan kerjasama bersama Ahli Jawatankuasa Penyelidikan ISN bagi menjalankan penyelidikan dan juga pembangunan terhadap penggunaan probiotik dalam bidang sains sukan.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md. Ramli berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada pihak Yakult atas sokongan yang berterusan kepada ISN.

“Matlamat kami adalah untuk menyediakan servis nutrisi sukan yang terbaik bagi kesemua atlet serta meningkatkan pengetahuan mereka tentang pemakanan sukan. Kami juga berharap lebih banyak program berfaedah dapat dilakukan bersama-sama Yakult di masa akan datang,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Yakult (M) Sdn Bhd, Hiroshi Hamada memaklumkan Yakult sememangnya mempunyai misi untuk memberikan kesihatan dan kebahagiaan kepada masyarakat di seluruh dunia dan bidang sukan merupakan salah satu cabangnya.

“Misi kami jelas dalam memberikan kesihatan dan kebahagiaan kepada masyarat seluruh dunia dan bidang sukan adalah salah satu daripadanya walaupun masih ramai yang belum memahami tentang hubungkait diantara pengambilan minuman probiotik dengan sukan.

“Namun, menerusi beberapa kajian saintifik yang dibuat oleh Profesor Micheal Gleeson dari Universiti Loughborough dan Profesor Madya Dr. Mahendran Appukutty dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam,  berjaya membuktikan pengambilan minuman probiotik mampu membantu dalam mengurangkan risiko jangkitan serta menyokong kesihatan mental atlet,” tambahnya. -WILAYAHKU/MUHAMAD NIZAM

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas