Berita

Peniaga selesa di Kompleks Jalan Raja Bot

KOMPLEKS Jalan Raja Bot, Chow Kit lebih selesa dan teratur
- Diterbit 10 Mei 2024 9:05 AM MYT

TINDAKAN Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memindahkan 64 peniaga di Jalan Lorong Muhibbah ke penempatan baharu di Kompleks Jalan Raja Bot, Chow Kit April lalu membawa kelegaan kepada para peniaga.

Rata-ratanya bersyukur kerana diberi kawasan yang lebih selesa dan terjamin dari segi keselamatan untuk terus mencari rezeki demi kelangsungan hidup.

Tinjauan Wilayahku pada Rabu mendapati kompleks yang berkonsepkan pasar dan medan selera itu telah siap sepenuhnya dengan pelbagai fasiliti seperti tandas, surau selain susun atur yang lebih kemas dan bersih.

Salah seorang peniaga, Tan Kuan, 80, menyambut baik inisiaitif yang dilaksanakan oleh pihak DBKL meskipun bersedih kerana terpaksa meninggalkan lokasi lama yang membawa banyak kenangan kepada dirinya.

“Saya meniaga di kawasan Chow Kit ini sudah hampir 43 tahun, mestilah saya sedih sebab itulah tapak asal saya menjalankan perniagaan. Sebaik menerima notis daripada DBKL, saya sudah bersedia.

“Lagipun sebelum itu saya sudah pun mendengar perkhabaran tentang tapak itu akan dirobohkan namun yang pasti saya gembira berada di tempat baharu yang lebih selesa,” ujarnya.

Tambahnya selain lengkap dengan pelbagai fasiliti, pelanggan juga tidak perlu lagi bersesak untuk menjamu selera terutamanya ketika waktu puncak.

Walau bagaimanapun, Tan Kuan berharap pihak DBKL akan membantu menguar-uarkan lokasi tersebut kepada orang ramai supaya ia lebih dikenali dan menjadi lokasi utama tumpuan masyarakat.

Perkara tersebut turut disokong peniaga masakan berlauk, Siti Aishah Nazri, 30, yang memuji tindakan DBKL merobohkan gerai di lokasi lama bagi membanteras aktiviti jualan warga asing.

“Terima kasih DBKL di atas usaha tersebut. Diharapkan selepas ini pihak DBKL dapat melakukan hebahan promosi selain menaik taraf kawasan ini dari semasa ke semasa agar lokasi ini menjadi lebih meriah lagi.

“Walau bagaimanapun saya bersyukur diberikan tempat ini untuk mencari rezeki. Usaha murni yang dijalankan DBKL memberi peluang kepada ramai peniaga tempatan untuk berniaga dalam keadaan yang selesa,” ujarnya.

Terdahulu, pada pertengahan April lalu, DBKL merobohkan gerai di Jalan Lorong Muhibbah berhampiran Pasar Chow Kit berikutan pasar ini dikatakan menjadi pusat peniagaan melibatkan warga asing Indonesia dan Myanmar.

Difahamkan juga perobohan itu dilakukan untuk membina laluan masuk ke tapak projek pembangunan baharu Chow Kit Fasa Tiga. Ekoran daripada itu, 64 peniaga dipindahkan ke penempatan baharu di Kompleks Jalan Raja Bot, Chow Kit.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas