Berita

Khenobu antara atlet sukan break dance wakili Malaysia ke SEA Final 2023 di Taiwan – Sora

Mohd Firdaus Nawir|ANTARA pemenang di WBC2023 di Kota Kinabalu
- Diterbit 9 Mei 2023 10:32 AM MYT

PENGANJUR sukan break dance World Breaking Classic (WBC2023), Mohd Firdaus Nawir, 25, meletakkan harapan besar terhadap wakil-wakil atlet sukan break dance negara ke South East Asia Final di Taiwan pada 14 Mei ini.

Jelas Firdaus atau lebih dikenali Sora, para atlet telah membuktikan kemenangan mereka di WBC2023, lantas percaya akan kebolehan mereka untuk membawa pulang pingat emas SEA Final 2023 itu nanti.

“Antara wakil Malaysia itu nanti ialah Mohd Faridh Yassin (Khenobu), Flexi, Mody, Dylan, dan Bubul.

“Nama-nama ini sudah berpengalaman dan meraih tempat menerusi beberapa pertandingan prestij di dalam dan di luar negara sukan break dance.

“Jadi, besarlah harapan saya mereka mendapat tempat sekali gus mengharumkan nama negara kita,” ujarnya.

PENGANJUR sukan break dance World Breaking Classic (WBC2023), Mohd Firdaus Nawir

Terdahulu, jelas Sora, WBC2023 turut membuka peluang mencungkil bakat-bakat baharu selain mencari wakil ke SEA Final 2023.

“Kami percaya ramai anak muda di luar sana yang meminati komuniti ini, namun mereka tidak tahu kemana hala tuju untuk menonjolkan bakat mereka agar diketahui umum.

“Jadi, kami di Jom Battle membawakan pertandingan bertaraf antarabangsa ini bagi membuka mata rakyat Malaysia bahawa komuniti ‘break dance’ ini sudah berkembang dengan pesat dan mendapat pengiktirafan sebagai sukan di negara-negara luar,” katanya.

ANTARA pemenang di WBC2023 di Kota Kinabalu, pada 6 dan 7 Mei lalu.

Untuk info, WBC2023 telah diadakan bertempat di Pusat membeli-belah, Imago Shopping Mall Kota Kinabalu Sabah dan mendapat tajaan daripada Sawit Kinabalu, Tourism Sabah Board & Jetsin Sdn Bhd. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas