Berita

Anwar:The Untold Story penceritaan kisah benar

ANWAR The Untold Story menceritakan tentang kisah sebenar yang dialami oleh Perdana Menteri , Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Diterbit 9 Mei 2023 12:00 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar menyifatkan penghasilan filem Anwar: The Untold Story sebagai sebuah filem yang bagus meskipun dialognya tidak tepat.

Beliau berkata penceritaan serta dialog yang dilakonkan dalam filem yang mengisahkan dirinya itu tidak tepat seratus perarus namun isu yang dibangkitkan adalah tepat serta kejadian sebenar.

“Saya akui ia berdasarkan peristiwa puluhan tahun lalu dan untuk disingkatkan dalam tempoh masa 90 minit bukanlah mudah,” ujar beliau yang turut memuji sinematografi filem tersebut turut menarik.

Anwar turut mengakui agak sukar untuk dirinya mengulas berkenaan filem tersebut memandangkan terdapat beberapa peristiwa yang ingin dilupakan.

“Saya sukar nak ulas filem itu disebabkan ada episod dalam kehidupan yang saya mahu lupakan kerana ia amat menyakitkan dan menyedihkan.

“Banyak beban tertanggung adalah Azizah, anak-anak dan rakan-rakan,” katanya pada sidang akhbar selepas menonton tayangan perdana filem itu di Dadi Cinema, Pavillion Bukit Bintang malam tadi.

Beliau juga turut memuji lakonan watak Anwar Ibrahim yang dibawa oleh pelakon, Farid Kamil kerana dia perlu menghayati detik sukar keadaan sebenar yang dialami oleh beliau pada ketika itu.

Turut hadir pada tayangan tersebut adalah isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pengarah filem itu, Viva Westi dan pelakon utama, Farid Kamil Zahari. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas