Berita

Khazanah capai prestasi kukuh 2019, rekod untung RM7.36 bilion

|
- Diterbit 2 Mac 2020 9:31 AM MYT

PUTRAJAYA – Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) mencatatkan pemulihan bagi prestasi keseluruhan 2019 dengan keuntungan operasi disumbangkan oleh hasil pelupusan lebih tinggi dan susut nilai lebih rendah serta pulangan portfolio lebih mantap.

Ia merekodkan keuntungan operasi RM7.36 bilion berbanding kerugian operasi RM6.27 bilion pada 2018.

Khazanah dalam kenyataannya berkata, hasil daripada pelupusan meningkat kepada RM9.9 bilion berbanding RM1.4 bilion manakala susut nilai berada pada RM4.9 bilion berbanding RM7.3 bilion pada tahun sebelumnya.

Dana strategik negara itu turut mengumumkan dividen sebanyak RM1 bilion bagi 2019 di samping mengukuhkan kedudukan kewangannya hasil perbelanjaan yang dikurangkan sebanyak 28.2 peratus kepada RM484 juta berbanding RM674 juta pada 2018.

Menurutnya, ini adalah bersamaan dengan 35 mata asas (bps) sebagai peratusan aset berbanding dengan 50bps pada tahun sebelumnya.

“Prestasi kami pada 2019 dicapai dalam keadaan persekitaran global yang tidak pasti, yang menyaksikan proses Brexit berpanjangan serta perang dagang Amerika Syarikat-China yang makin sengit.

“Perkara ini menjadi lebih mencabar akibat persekitaran pulangan rendah yang berterusan dan pertumbuhan ekonomi lebih perlahan. Meskipun dengan cabaran ini, kami berjaya mencapai perkembangan yang signifikan dalam memenuhi mandat kami untuk membangunkan kekayaan jangka panjang Malaysia,” kata Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Reza Ridzuan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas