Berita

Empat syarikat disenarai pendek jadi rakan kongsi MAB

Pramugari Malaysia Airlines bersama model pesawat MAS.
- Diterbit 2 Mac 2020 9:51 AM MYT

PUTRAJAYA – Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) telah menyenarai pendekkan empat syarikat daripada sembilan cadangan yang diterima berhubung rakan kongsi baharu Malaysia Airlines Bhd. (MAB).

Khazanah dalam kenyataannya berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan kerajaan dan MAB bagi mengkaji semula cadangan dan memuktamadkan keputusan mengenai pilihan rakan kongsi strategik paling sesuai bagi syarikat penerbangan negara itu.

“Khazanah telah membuat penilaian terhadap beberapa pilihan bagi menyelesaikan isu utama yang dihadapi MAB dan telah melancarkan proses bagi menilai rakan-rakan kongsi bagi syarikat penerbangan itu pada tahun 2019,” kata kenyataan itu.

Selain itu, Khazanah berkata, ia berjaya mencapai penyelesaian berkaitan penstrukturan semula tol PLUS Malaysia yang menyaksikan pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus.

Kata kenyataan itu, penstrukturan semula itu juga memberikan penjimatan kepada kerajaan sejumlah RM42 bilion untuk tempoh konsesi baharu yang berakhir pada tahun 2058.

Pada masa sama Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kekal sebagai pemegang saham PLUS.

“Penstrukturan semula itu kini berada di peringkat perbincangan dengan pihak berkepentingan bagi meminda perjanjian sedia ada,” kata Khazanah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas