Berita

Polis Selangor sahkan terima laporan kes hina Agong

NOOR AZAM
- Diterbit 2 Mac 2020 8:13 AM MYT

SHAH ALAM –  Polis Selangor mengesahkan menerima beberapa laporan polis berhubung penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, semua laporan itu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang terbabit.

“Kita terima empat atau lima laporan polis yang menghina Yang di-Pertuan Agong.

“Semua laporan sudah dikumpul dan siasatan akan dijalankan oleh pihak Bukit Aman,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Semalam melalui kenyataan media, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Bukit Aman menjalankan siasatan terhadap empat individu yang mana tiga daripadanya dikesan menghina Yang di-Pertuan Agong di media sosial.

Semua suspek melakukan perkara itu akibat tidak puas hati susulan pergolakan politik yang berlaku minggu lalu hingga menyebabkan tampuk kepimpinan negara bertukar. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas